ERL: Konsesi tambahan baharu 30 tahun

KUALA LUMPUR 23 Jan. – Kerajaan Malaysia dan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) hari ini memeterai perjanjian konsesi tambahan baharu selama 30 tahun bagi perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit, bermula dari 2029 hingga 2059.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pelanjutan konsesi itu membolehkan ERL menentukan kadar tambang berdasarkan pertimbangan pasaran.

Bercakap pada sidang media di sini, beliau berkata, kerajaan juga tidak akan lagi membayar apa-apa bayaran caj atau fi dari sumber pendapatan Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) kepada pihak ERL.

Katanya, ketika ini ERL menerima bayaran daripada kutipan PSC berjumlah RM1 bagi setiap penumpang penerbangan domestik dan RM5 bagi penumpang penerbangan antarabangsa yang melalui KLIA.

“PSC yang dikutip daripada penumpang di Terminal 1 dan Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikongsi antara Malaysia Airports Holdings Bhd dan kerajaan,” katanya selepas menyaksikan majlis memeterai perjanjian konsesi tambahan, di sini, hari ini.

Loke berkata, pelaksanaan struktur tambang yang dipacu pasaran akan memberi peluang kepada ERL menyediakan perkhidmatan yang cekap mengikut permintaan pasaran.

“Perjanjian konsesi tambahan ini dilihat sebagai situasi menang-menang antara ERL dan pengguna, di mana perkhidmatan terbaik boleh disediakan oleh ERL.

Loke berkata, pada 2023, jumlah penumpang menggunakan KLIA Ekspres dan KLIA Transit ialah 6.58 juta, iaitu 74 peratus daripada angka penumpang 2019. Masih terdapat banyak ruang untuk pertumbuhan bilangan penumpang.

Katanya, lanjutan konsesi yang dibuat lebih awal itu membolehkan ERL merancang dan melaksanakan pelaburan bagi menambah baik kemudahan dan perkhidmatannya.

Justeru, beliau berkata, ERL perlu berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan bagi menarik lebih ramai penumpang menggunakan kedua-dua perkhidmatan rel yang menghubungkan pusat bandar Kuala Lumpur dan KLIA.

Related posts

Leave a Comment