Shahidan calon PN Arau, Ismail di Maran

MARANG 3 Nov. –  Jika dua bekas penyandang kerusi Pas berpindah kepada Barisan Nasional (BN), dua penyandang kerusi BN juga berbuat demikian apabila beralih kepada Perikatan Nasional (PN) menjelang hari penamaan calon Sabtu ini.

Penyandang kerusi Parlimen Arau, Shahidan Kassim yang digugurkan BN akan bertanding atas tiket PN bagi mempertahankan kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Selain Menteri Wilayah Persekutuan itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Ismail Abd Muttalib yang turut digugurkan BN, diumumkan mewakili PN bertanding mempertahankan kerusi Maran di Pahang.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Pengerusi PN yang juga Presiden Pas, Abdul Hadi Awang pada Majlis Pengisytiharan Calon Pas Terengganu PRU15, di Dewan Tok Guru, Rusila, di sini, malam ini.

Terdahulu BN malam ini turut mengumumkan dua bekas wakil rakyat Pas penggal lalu iaitu Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Kuala Nerus manakala Che Abdullah Mat Nawi bagi Parlimen Tumpat.

Shahidan ketika berucap di pentas Pas itu berkata beliau memilih untuk bersama PN selepas nama ‘calon boleh menang’ yang dicadangkan kepada UMNO pusat tidak dipedulikan Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau mendakwa, Ahmad Zahid yang juga penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk, bersikap tidak jujur dan menipu apabila mengubah namanya daripada bertanding tanpa mengikut keputusan Top-5.

“Nama saya sudah diserahkan kepada Top-5, tetapi Ahmad Zahid gagal mengikut keputusan dan penipu apabila mengubah senarai calon yang diputuskan Top-5,” katanya yang menegaskan gerakan perpaduan ummah akan terus dilaksanakan.

Beliau berkata, bagi memastikan kemenangan PN,  Parlimen Arau akan digempur secara habis-habisan.

“Terima kasih kepada seluruh pimpinan PN termasuk Abdul Hadi kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk bertanding di Parlimen Arau,” katanya sambil berseloroh terpaksa bergegas pulang ke Arau untuk mengisi borang pencalonan selepas menerima watikah sebagai calon PN.

Turut hadir adalah Naib Presiden Pas, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Pesuruhjaya Pas negeri, Senator Husain Awang dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Senator  Razali Idris serta kira-kira 10,000 penyokong PN daripada seluruh negeri.

Related posts

Leave a Comment