PUTRAJAYA 22 Jan. – Dr Mahathir Mohamad mendakwa tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat anaknya, Mirzan adalah untuk pengumpulan bukti bagi mendakwanya di mahkamah.
Ketika mempertikaikan tindakan SPRM itu, bekas Perdana Menteri berkata Mirzan diminta untuk mengisytiharkan aset sejak 42 tahun lalu jika mahu mengelak dikenakan hukuman penjara.
“Apa yang dia (Mirzan) buat? Dia suruh anak saya bagi bukti supaya ayah boleh dicaj. Anak saya kena caj, saya kena beri bukti.
“Bukan main, daripada tahun 1981 sampai sekarang. Sudah tentu dia simpan dalam pejabatnya. Simpan dalam bilik yang penuh dengan cek, dokumen.
Nak bagi 42 tahun dan diberikan pada masa 30 hari. Kalau lebih 30 hari boleh kena hukum, masuk penjara lima tahun,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.
Menurut Mahathir untuk membolehkan anaknya yang berusia 66 tahun itu memberi penjelasan, banyak pihak yang perlu dihubungi.
“Dia kena tanya bank, Petronas, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), korek pejabat dia sebab kena tunjuk bahan bukti,” katanya lagi.
Pada 18 Januari lalu, SPRM menyerahkan perintah notis kepada Mirzan yang memerlukannya isytihar aset dalam tempoh 30 hari.
Dr Mahathir mengakui risau terhadap siasatan dijalankan kepada anaknya itu kerana ia dilihat seperti suatu ancaman, yang boleh mengaitkannya melakukan kesalahan.
“Saya nak tanya kepada (Tan Sri) Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya SPRM), siapa yang buat tuduhan itu dan kenapa tidak bagi tahu saya?
“Anwar kata saya curi duit kerajaan, …tunjuklah bukti, sebaliknya sekarang saya dengar anak saya diminta untuk beri bukti supaya saya boleh didakwa,” katanya.
Mahathir berkata, jika beliau melakukan kesalahan, pihaknya bersedia disiasat dan pihak berkuasa tidak seharusnya menggunakan undang-undang kerajaan untuk mengancam individu.
Katanya, pihaknya melihat siasatan dibuat terhadap anaknya adalah tidak adil kerana perlu memaparkan segala transaksi sejak 42 tahun, iaitu ketika Mirzan masih berada di universiti.
Ketika ditanya sama ada siasatan itu dibuat atas rasa dendam, Dr Mahathir bagaimanapun berkata, pihaknya menyerahkan kepada umum untuk menilai.
“Semasa saya menjadi Perdana Menteri kali pertama, beliau berada dalam penjara dan semasa pimpinan saya kali kedua, beliau dibebaskan.
“Beliau kemudiannya mahu bertanding pada pilihan raya, dan ketika itu, saya dan Tun Daim Zainuddin berkempen untuk beliau namun kini beliau mahu menyiasat saya atas kesalahan salah laku,” katanya.
Nnn
