PUTRAJAYA 22 Jan. – Dr Mahathir Mohamad mencabar Anwar Ibrahim supaya mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) bagi membuktikan Perdana Menteri ke-10 itu mempunyai sokongan kuat rakyat.
Bekas Perdana Menteri dua kali itu membuat cabaran itu ketika pimpinan Anwar kini didakwa menyalahgunakan kuasa dengan menyiasat pihak yang dilihat berupaya menggugat kepimpinannya.
“Apabila jadi PM, dia (Anwar) menggunakan ancaman terhadap orang ramai. Dia tidak tahu bagaimana untuk selesaikan masalah ekonomi, politik, sosial rakyat.
“Dia (kata) nak lawan rasuah. Lawan rasuah selepas Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dilepaskan.
“Kalau saya menyalahgunakan kedudukan, saya akan buat satu pilihan raya jadi caya cabar Anwar adakan satu pilihan raya hari ini,” katanya pada sidang media, hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau menang lima pilihan raya dengan majoriti dua pertiga dan rakyat ada peluang menukarnya tetapi ia tidak berlaku.
Dr Mahathir berkata, Anwar dilihat terpaksa menggerakkan siasatan terhadap individu tertentu kerana kedudukannya sebagai Perdana Menteri adalah dilantik secara kebetulan dan bukan dipilih secara majoriti oleh rakyat.
Beliau berkata, malah sepanjang pentadbirannya, Anwar dilihat tidak berjaya menangani isu ekonomi, politik dan masalah sosial.
Malah Dr Mahathir berkata, Anwar juga dilihat takut dengan bayang-bayang sendiri, khususnya melalui ura-ura wujudnya Langkah Dubai.
“Anwar tunjuk kononnya Langkah Dubai nak jatuhkan dia, …sepatutnya dia jatuhlah, …orang sedang dalam kesusahan beliau tidak pandai atasi cari orang lain, lawan dengan rasuah namun dia lepaskan orang yang rasuah,” katanya.
