Isteri Daim sedia lawan tuduhan

KUALA LUMPUR 22 Jan. – Isteri kepada bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin,  Na’imah Abdul Khalid mengesahkan beliau akan didakwa di mahkamah, pagi esok.

Beliau berkata, pasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakam keterangannya di hospital suaminya dirawat.

“Ini berlaku walaupun saya memberi jaminan kepada mereka saya akan memberi kenyataan sebaik sahaja prosedur perubatan suami saya selesai pada hari Selasa.

“Saya kemudian diberitahu bahawa saya akan didakwa pada hari Selasa (esok) pada jam 9 pagi mengikut Seksyen 36(2) SPRM 2009 kerana kononnya gagal mematuhi notis meminta untuk mendedahkan maklumat mengenai aset,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, beliau meminta pendakwaan dilakukan sehari kemudian, iaitu pada hari Rabu selepas prosedur perubatan suaminya selesai, namun ditolak SPRM.

“Mereka berkeras akan mendakwa saya esok. Saya akan berada di mahkamah dan akan melawan tuduhan ini,” katanya.

Difahamkan isteri Daim akan dituduh mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 kerana gagal mengisytiharkan harta.

Pada 10 Januari lalu, Nai’mah dan dua anak lelakinya hadir ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan serta membantu siasatan agensi antirasuah itu terhadap Daim yang juga seorang ahli perniagaan.

Sebelum ini, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan kenyataan diambil daripada isteri dan anak-anak lelaki Daim untuk membantu siasatan mengikut undang-undang pencegahan pengubahan wang haram.

SPRM turut menjelaskan siasatan ke atas Daim berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora dan kertas siasatan bagi kes itu dibuka pada Februari tahun lepas.

Nnn

Related posts

Leave a Comment