Prabowo mendahului saingan calon Presiden

JAKARTA:  Calon presiden Indonesia, Prabowo Subianto terus mendahului sokongan  ke atasnya berbanding dua pesaingnya dalam tinjauan simulasi terbaru, menjelang pilihan raya yang akan berlangsung pada 14 Februari depan.

Tinjauan Institut Kajian Indikator Politik Indonesia antara 10 Januari dan 16 Januari lalu menunjukkan 48.6 peratus pengundi menyokong gandingan menteri pertahanan itu serta calon naib presiden, Gibran Rakabuming Raka, anak sulung Joko Widodo.

Bilangan penyokongnya meningkat selepas sokongan tidak berubah pada sekitar 45.8 peratus dalam dua tinjauan sebelumnya oleh Indikator.

Prabowo melebarkan kedudukannya ke atas pesaingnya, juga bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan dan bekas gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo.

Sokongan untuk Anies susut kepada 24.2 peratus daripada 25.5 peratus dalam tinjauan sebelumnya pada 30 Disember hingga 6 Januari, manakala sokongan untuk Ganjar susut kepada 21.6 peratus daripada 23 peratus.

Tinjauan Lembaga Survei Indonesia (LSI) pula berkata, berdasarkan tinjauan telefon dijalankan pada 10 dan 11 Januari lalu, Prabowo mendapat 47 peratus sokongan, meningkat daripada 45.6 peratus dalam tinjauan sebelumnya.

LSI menyatakan, sokongan untuk Anies turut meningkat sedikit kepada 23.2 peratus daripada 22.3 peratus, namun sokongan Ganjar merosot kepada 21.7 peratus daripada 23.8 peratus.

Kedua-dua Indikator dan LSI menjangkakan kemungkinan pilihan raya masih kekal untuk ke pusingan kedua, biarpun Prabowo terus mendahului, namun dia masih belum memperoleh undi yang diperlukan untuk menang pada pusingan pertama.

Nnn

Related posts

Leave a Comment