Usah terlalu bimbang, takut

SINGAPURA 3 Okt. – Tidak seharusnya “terlalu terbawa-bawa” atau “bimbang dan takut” tentang jumlah kes harian Covid-19 di Singapura, demikian pandangan pengerusi bersama jawatankuasa bertindak berbilang kementerian, Lawrence Wong.

Bercakap pada sidang media jawatankuasa bertindak berbilang kementerian semalam, beliau menyentuh tentang dua reaksi berbeza ketika bilangan kes harian semakin meningkat.

Katanya, salah satu golongan berkata “Lihat, ia amat tinggi, ayuh segera laksanakan perintah berkurung dan cuba mengurangkan jumlah kes’ dan satu lagi golongan pula berkata, ‘Ini memang sudah dijangkakan, sedang kita berbincang tentang hidup dengan Covid-19, kita perlu teruskan usaha ini.'”

Sebagai respons kepada golongan pertama yang menggesa sekatan-sekatan terus diperketatkan, Wong menarik perhatian Singapura “sudahpun menjangkaui fasa itu”.

“Kami sudah mengatakan, disebabkan oleh kadar vaksinasi kita yang tinggi, kita tidak lagi menumpukan perhatian semata-mata kepada jumlah kes. Tumpuan utama kami adalah mereka yang sakit teruk dan memastikan sistem jagaan kesihatan kita mampu menampung mereka,” tambah beliau.

Oleh itu, katanya, jangan terlalu menumpukan perhatian kepada jumlah kes atau terlalu bimbang atau takut tentang bilangan itu.

Bagi golongan kedua yang menggesa lebih banyak langkah melonggarkan sempadan, Wong meminta mereka supaya bersabar.

“Strategi keseluruhan kita untuk membuka semula ekonomi tidak berubah. Tetapi ini adalah kali pertama kita mengalami gelombang besar yang membawa tekanan kepada sistem jagaan kesihatan dan petugas kesihatan kita,” tambah beliau.

Wong yang juga Menteri Kewangan berkata, prosedur dan protokol perlu diubah dan disesuaikan dan kapasiti harus ditambahkan pada sistem itu.

“Semua ini memerlukan sedikit masa dan itulah sebabnya kami sedang melaksanakan langkah-langkah di bawah fasa penstabilan ini agar kita boleh bersiap sedia,” tambah beliau.

Beliau juga mengingatkan, Singapura harus bersedia bahawa ini bukan gelombang terakhir Covid-19 yang melanda.

“Kita sedang menempuhi satu gelombang besar, tetapi kita harus bersedia secara mental bahawa akan terdapat gelombang susulan,” jelas beliau.

Related posts

Leave a Comment