KAMPALA: Hak rakyat Palestin untuk membina negara sendiri mesti diiktiraf oleh semua, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.
Katanya, keengganan untuk menerima penyelesaian dua negara bagi Israel dan Palestin dan penafian hak kenegaraan bagi rakyat Palestin tidak boleh diterima.
Beliau menegaskan, pendirian sedemikian akan memanjangkan konflik yang menjadi ancaman besar kepada keamanan dan keselamatan global, sekali gus memburukkan polarisasi.
Pada sidang kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di Uganda, semalam Guterres mengutuk pencerobohan ketenteraan haram Israel terhadap Semenanjung Gaza dan menggesa gencatan senjata kemanusiaan yang berkekalan.
Guterres pada masa yang sama mengulangi gesaan dengan merayu gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza.
Pemimpin yang menyertai sidang kemuncak itu di Kampala juga menggesa kemerdekaan dan kedaulatan Negara Palestin dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota untuk mencapai penyelesaian dua negara.
Sidang kemuncak NAM ialah forum 120 negara yang tidak bersekutu secara rasmi dengan mana-mana blok kuasa besar. Keanggotaannya termasuk India, Iran, Iraq dan Afrika Selatan.
Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kesal dengan ‘keadaan kehidupan yang tidak berperikemanusiaan’ di wilayah pantai kecil yang mempunyai 2.4 juta penduduk dengan kebanyakannya sudah dipindahkan disebabkan tindakan Israel.
Sekutu utama dan penyokong utama Israel, Amerika Syarikat (AS) dalam perangnya menentang Hamas, juga baru-baru ini mengulangi sokongannya untuk mewujudkan sebuah negara Palestin.
Sejak beberapa hari kebelakangan ini, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan semula penentangannya terhadap pembentukan negara Palestin yang berdaya maju, mendapat kritikan daripada sekutunya, AS.
