Dr Mahathir sedia jumpa Menteri Perpaduan

PUTRAJAYA 17 Jan. –  Dr Mahathir Mohamad bersedia berjumpa dengan Menteri Perpaduan,  Aaron Ago Dagang seperti yang dicadangkan susulan kenyataan beliau mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara.

“Saya harap dia datang,” kata bekas Perdana Menteri itu menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Dalam hantaran itu, Dr Mahathir berkata banyak pihak bercakap tentang kepelbagaian kaum dan mengkritik beliau berkenaan isu perkauman namun pada masa yang sama, terdapat banyak parti yang berasaskan kaum di Malaysia.

“Yang asyik bercakap tentang multiracial dan kritik saya berkenaan isu berkaitan kaum harus bertanya kenapa wujud parti-parti berasas kaum dalam negara ini. Kenapa tidak cuma wujud parti Malaysia.

Ada parti yang dakwa mereka parti multiracial tetapi bekas pemimpin mereka kata parti itu fake multiracial, iaitu palsu.,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Sebelum ini, dalam satu temu bual eksklusif dengan TV satelit India, Thanthi TV, Dr Mahathir berkata beliau berpandangan kaum India dan Cina di Malaysia tidak setia sepenuhnya kepada negara kerana masih mahu mengaitkan identiti diri mereka dengan negara asal masing-masing.

Kenyataan Dr Mahathir itu dikritik beberapa pemimpin politik dan aktivis di Malaysia manakala Aaron dalam satu kenyataan kelmarin, berkata pemimpin politik harus menjadi contoh dalam memupuk nilai perpaduan, keharmonian dan semangat kebersamaan.

“Sebagai seorang negarawan yang telah mengambil bahagian dalam membina negara ini, beliau sepatutnya menjadi ejen perpaduan dalam menyebarkan mesej kebersamaan. Saya amat kecewa dan mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Dr Mahathir,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut mengecam dan menyifatkan kenyataan Dr Mahathir itu sebagai tidak bertanggungjawab.

“Beliau diketahui mengeluarkan kenyataan sedemikian, baginya, semua orang Melayu malas, kecuali dirinya sendiri. Dan orang India dan Cina Malaysia tidak setia melainkan jika mereka adalah kroninya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment