Omicron sumbang 73.2 peratus kes

WASHINGTON: Varian Omicron kini menjadi strain Covid-19 utama di Amerika Syarikat (AS), menyumbang 73.2 peratus daripada kes jangkitan baharu sepanjang minggu lalu.

Menurut laporan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, ia disokong data agensi itu menunjukkan lonjakan peningkatan kes untuk minggu berakhir Sabtu lalu.

Dalam tempoh masa yang sama di negeri Barat Laut Pasifik seperti di Oregon, Washington dan Idaho, dan sebahagian besar Selatan AS serta bahagian Barat Tengah AS, Omicron menyumbang 96.3 peratus kes baharu.

Berbanding dalam tempoh minggu sebelumnya, jangkitan Covid-19 varian Omicron hanya menyumbang 12.6 peratus daripada kes di AS.

Ahad lalu, penasihat utama pandemik AS, Anthony Fauci memberi amaran, mengenai penularan pantas Omicron sehingga menwujudkan gelombang baharu di seluruh dunia ketika musim sejuk.

Walaupun terdapat tanda-tanda bahawa Omicron tidak lebih teruk daripada varian Delta yang masih dominan, data awal mencadangkan ia mungkin lebih pantas berjangkit dan mungkin mempunyai ketahanan yang lebih tinggi terhadap vaksin.

Sejak pertama kali dilaporkan di Afrika Selatan pada bulan November, Omicron dikenal pasti di berpuluh-puluh negara, sekali gus mematahkan harapan bahawa wabak terburuk itu akan berakhir.

Di seluruh AS, keadaan hospital kembali semakin sibuk, pusat ujian saringan Covid-19 dipenuhi orang yang berbaris panjang, dan acara sukan dan hiburan dibatalkan.

Kawalan virus itu menjadi sukar di negara di mana vaksinasi dan pemakaian topeng muka sentiasa dipolitikkan manakala mandat Persekutuan bagi menguatkuasa peraturan berakhir dalam pertelingkahan undang-undang yang berlarutan.

Related posts

Leave a Comment