TAIPING 18 Jan. – Kerajaan negeri menjangkakan Seksyen 11 Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dapat dibuka pada suku pertama tahun ini iaitu sebelum sambutan Aidilfitri akan datang, kata Menteri Besar, Saarani Mohamad.
Laluan berkenaan yang membabitkan persimpangan Beruas ke Taiping Selatan itu pada mulanya dijangja dapat dibuka pada akhir bulan lalu, tetapi berlalu sedikit kelewatan.
Saarani berkata, setakat 1 Disember, WCE siap 98 peratus dan kini memasuki tahap pemeriksaan, pemantauan dan sijil daripada Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM).
“Dijangka terdapat dua kawasan rehat dan rawat (R&R) di kedua-dua arah akan dibina di Seksyen 11 ini.
Sekiranya dibuka kerajaan dijangka memberi tol percuma kepada pengguna selama sebulan dan kita ada keyakinan tinggi WCE dapat dibuka sebelum Aidilfitri,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja bersama EXCO kerajaan negeri ke projek WCE di Changkat Jering, disini, hari ini.
WCE adalah projek infrastruktur negara dilaksanakan secara penswastaan menghubungkan Taiping di Perak dengan Banting di Selangor dengan panjang keseluruhan 233 kilometer.
Sehingga kini lima daripada 11 seksyen pembinaan lebuh raya ini dibuka membabitkan Seksyen 5 (Klang-Kapar) dan Seksyen 6 (Kapar – Assam Jawa) di Selangor.
Seksyen 8 ( Hutan Melintang-Telok Intan), Seksyen 9 (Kampung Lekir -Changkat Chermin) dan Seksyen 10 (Changkat Chermin-Beruas) di Perak.
Seksyen 11 yang panjangnya 35.5 kilometer adalah pelengkap kepada jajaran lebuh raya WCE di Perak dan kini berada di fasa terakhir sebelum dibuka secara rasmi.
