Kampung Manis milik kereta api jadi perumahan moden

BAGAN 16 Jan. –  Kampung Manis, penempatan setinggan dalam kawasan tanah Perbadanan Aset Keretapi (RAC) di Bandar Perai di sini, bakal bertukar menjadi perumahan moden apabila perkampungan seluas 14.9 hektar itu dibangunkan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata RAC bersama Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) bersetuju membangunkan kawasan itu.

Menurutnya, peranan RAC sebagai sebuah agensi Kementerian Pengangkutan bukan sahaja mengoptimum potensi tanah kereta api, malah membina ekosistem pembangunan berorientasikan pengangkutan mampan.

“Berdasarkan Rancangan Tempatan Seberang Perai 2030, zon guna tanah bagi ketiga-tiga lot ini digazetkan sebagai industri dan pengangkutan serta komersial yang amat sesuai untuk dibangunkan.

“Ini dapat menyokong hala tuju dan fokus Kementerian Pengangkutan pada 2024 yang berhasrat memperkasa jaringan ketersambungan dan kebolehcapaian sistem pengangkutan awam dan logistik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara RAC dengan LPNPP bagi membangunkan Kampung Manis di sini, hari ini.

Loke berkata, potensi Kampung Manis diketengahkan dalam Pameran Hartanah RAC 2023 dengan sebanyak lapan tapak tanah kereta api menarik perhatian pemaju untuk dibangunkan dengan dua di Pulau Pinang, iaitu Kampung Manis dan Bukit Tengah, di sini.

Menurutnya, langkah membangunkan tanah itu bagi memastikan RAC menjana pendapatan berterusan, seterusnya menyalurkannya semula kepada pembangunan dan penyelenggaraan industri pengangkutan rel.

“Walaupun pengangkutan di Kampung Manis tidak dihubungkan terus dengan jajaran kereta api, pembangunan kawasan ini boleh menggalakkan permintaan pengangkutan awam dan mendorong jaringan perantaraan yang lebih baik bagi menghubungkan stesen kereta api terdekat iaitu Stesen Butterworth,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata pembangunan menyeluruh diperlukan di Kampung Manis kerana kawasan kediaman itu tidak terancang, selain tiada sistem perparitan sistematik sehingga menyebabkan masalah banjir.

Katanya , pembangunan kedua-dua projek RAC dan LPNPP di kawasan ini akan dapat menukar wajah penempatan sedia ada kepada pembinaan perumahan lebih teratur, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi dengan ruang komersial yang dapat menjana pendapatan, peluang pekerjaan dengan laluan trafik lebih lancar.

Nnn

Related posts

Leave a Comment