BUTTERWORTH 16 Jan. – Buat kali pertama, perkhidmatan feri Pulau Pinang akan beroperasi 24 jam, bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di sebelah pulau sempena meraikan sambutan perayaan Thaipusam.
Malahan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd (Penang Port) akan menawarkan perkhidmatan feri percuma bermula 12.01 tengah malam 24 Januari hingga 2 pagi 26 Januari bagi memudahkan perjalanan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, bas Rapid Penang pula turut memberikan perkhidmatan percuma kepada penumpang feri yang tiba di terminal feri Pangkalan Raja Tun Uda, untuk ke destinasi sambutan.
“Bas akan berhenti di tempat-tempat mereka sembahyang dengan destinasi akhir di Kuil Arulmigu Balathandayuthapani,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Waktu operasi Bas Rapid Penang secara percuma adalah mulai 2 petang hingga 1 pagi 24 Januari dan pada 25 Januari mulai 5.30 pagi hingga 1 pagi keesokannya.
Sementara itu, beliau memaklumkan, projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang akan dimuktamadkan dalam masa terdekat selepas Kementerian Pengangkutan diarah menyediakan memorandum Jemaah Menteri untuk dibentangkan.
Loke berkata beliau menerima arahan daripada Anwar Ibrahim selepas menghadiri mesyuarat bersama Perdana Menteri berhubung projek berkenaan semalam.
“Perdana Menteri mengarahkan Kementerian Pengangkutan menyediakan memorandum Jemaah Menteri untuk dibawa ke Kabinet untuk diluluskan daripada segi pelaksanaannya,” katanya selepas majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang bagi Pembangunan di Seberang Perai Tengah.
Sebelum ini, Perdana Menteri mengumumkan, kerajaan Pusat akan menambah dana dalam satu skim yang besar untuk melaksanakan LRT di Pulau Pinang.
Sebagai alternatif, Kerajaan Persekutuan akan menyediakan skim dalam jumlah dana besar dan mencukupi kepada Pulau Pinang untuk melaksanakan segera projek LRT yang turut dijangka menghubungkan Penang Sentral di Butterworth menuju ke bahagian pulau.
