PUTRAJAYA 16 Jan. – Sepanjang tahun lalu, 2023, sebanyak 2,242 kedai makan dan restoran diarah tutup oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kerana kotor dan mendatangkan bahaya kepada kesihatan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan KKM adalah sebagai langkah menjamin kebersihan premis serta makanan dihidangkan.
“Bagi tempoh Januari sehingga Disember 2023, sebanyak 104,925 premis makanan diperiksa dan sejumlah premis makanan yang diberi perintah penutupan sementara di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 adalah 2,242 premis iaitu 2.14 peratus.
Pada Disember sahaja, sebanyak 2,837 premis makanan diperiksa dan sejumlah 79 premis atau 2.78 peratus diberi perintah penutupan sementara ,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Seksyen 11, Akta Makanan 1983 adalah perintah penutupan serta-merta tidak lebih daripada 14 hari mana-mana premis yang menyediakan atau menjual makanan apabila pengarah atau pegawai yang diberi kuasa berpendapat bahawa premis itu tidak dibersihkan dan disucikan keadaannya hingga mungkin mendatangkan bahaya kepada kesihatan.
Dr Muhammad Radzi berkata, pada tahun lalu, sejumlah 36,426 tawaran kompaun bernilai RM18,213,000 dikeluarkan dengan purata RM500 setiap kompaun, dalam tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975, bagi tujuan pencegahan dan kawalan penyakit demam denggi.
“Sejumlah 4,264 kes didaftar untuk tindakan mahkamah dan dalam masa yang sama sebanyak 911 kesdisabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM2,349,950,.
“Disember lalu, sejumlah 2,470 tawaran kompaun bernilai RM1,235,000 dikeluarkan, dengan sejumlah 426 kes didaftar untuk tindakan mahkamah dansebanyak 48 kes sudah disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM188,550,” katanya.
Bagi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, Dr Muhammad Radzi berkata, sejumlah 246,982 premis dilawati, dengan sejumlah 112,455 notis kesalahan dikeluarkan.
“Sebanyak 63,039 kompaun ditawarkan dengan nilai tawaran berjumlah RM16,388,150.
“Disember lalu, daripada 14,122 premis yang dilawati, sejumlah 4,423 notis kesalahan dikeluarkan, dengan sebanyak 4,860 kompaun ditawarkan dengan nilai tawaran berjumlah RM1,198,100,” katanya.
