Rumah pelacuran tidak boleh diterima sama sekali

SEPANG 9 Jan. – Cadangan membuka rumah pelacuran khusus untuk pekerja asing, tidak boleh diterima sama sekali kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan peruntukan undang-undang sivil dan syariah, bahkan bertentangan dengan prinsip-prinsip ajaran Islam dan Maqasid al-Syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Na’im Mokhtar menegaskan, dalam mencari penyelesaian (kes rogol melibatkan pekerja asing) kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan lain.

Justeru, cadangan pelakon popular Rosyam Nor itu wajar ditolak oleh segenap lapisan masyarakat dan orang ramai dinasihatkan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan polemik mahupun isu yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Beliau mengulas satu audio siar dengan sebuah media, semalam yang memetik Rosyam mengemukakan cadangan agar rumah pelacuran khusus untuk pekerja asing dibuka dengan harapan sekurang-kurangnya kes rogol dapat dikurangkan.

Na’im dalam satu kenyataan berkata, pelacuran adalah kesalahan di bawah Seksyen 372, 372A, 372B dan 373 Kanun Keseksaan selain Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah- wilayah Persekutuan) 1997.

Di samping itu, dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] juga terdapat beberapa peruntukan yang berkaitan dengan kesalahan pelacuran.

Selain itu, di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 juga ada memperuntukkan kesalahan kepada mana-mana orang yang menganjurkan, mendorong atau  menggalakkan orang lain untuk melakukan apa-apa maksiat sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 35 Akta 559.

“Pelacuran adalah jenayah berat di sisi undang-undang Islam yang termasuk dalam kategori hudud,” katanya.

Beliau turut menjelaskan pelacuran dan zina adalah perbuatan yang melibatkan hubungan seksual di luar hubungan perkahwinan.

“Zina didefinisikan oleh Al-Sarkhasi dan Ibn `Abidin, dari mazhab Hanafi sebagai persetubuhan haram dengan perempuan hidup melalui vagina yang dilakukan dalam negara Islam, yang mana perempuan itu secara jelas bukanlah daripada isterinya yang sah.

“Definisi ini dilengkapkan lagi oleh Al-Zaila`i yang juga merupakan ulama’ mazhab Hanafi dengan menambahkan elemen kerelaan dan tanpa paksaan dalam definisi zina, iaitu, ‘persetubuhan haram dengan perempuan hidup (bukan mayat), yang bukan di bawah pemilikannya (hamba), atau isterinya, secara sukarela dan tanpa paksaan, yang mana ia berlaku dalam negara Islam’,” katanya.

Sementara itu, terdapat ulama’ dari mazhab Maliki, Syafi’e dan Hanbali meluaskan skop zina dengan memberikan definisi zina sebagai, ‘persetubuhan haram sama ada melalui vagina ataupun dubur oleh seorang lelaki dewasa yang siuman dengan perempuan yang bukan isterinya’.

Manakala, rogol pula diistilahkan oleh sebahagian ulama’ seperti  Ibn `Abidin dari mazhab Hanafi dan al-Sharbini dari mazhab Syafi`e sebagai ‘al-zinā bi al-ikrāh’ yang bermaksud zina dengan paksaan. Manakala, sebahagian ulama’ lain pula, seperti Imam Malik dan Imam al-Syafi`e menggunakan istilah ‘ightiṣāb’ yang secara langsung membawa maksud rogol.

“Secara umumnya, kebanyakan ulama’ terdahulu membincangkan isu rogol di bawah jenayah zina kerana ia mempunyai perkaitan yang rapat, iaitu persetubuhan haram. Walau bagaimanapun , setelah meneliti definisi zina yang diberikan dalam kitab-kitab turath, beberapa ulama’ kontemporari seperti `Awdah,  Al-Masha`ili, Al-Zuhayli dan Zaydan menegaskan bahawa mazhab yang empat membezakan antara jenayah zina dan rogol dengan elemen kerelaan.

Malah, mereka memilih definisi zina oleh Al-Zaila`i sebagai takrif yang terbaik kerana memasukkan elemen kerelaan yang secara jelas menunjukkan perbuatan yang dilakukan tanpa paksaan,” katanya.

Cadangan Rosyam turut dibidas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri yang secara peribadi menyifatkan kenyataan meletak kaum hawa sebagai alat menyelesaikan masalah sosial sebagai merendahkan martabat golongan itu.

Tegasnya, cadangan atau gurauan tidak sensitif terhadap wanita tidak boleh menjadi kelazaman apatah lagi jika bercanggah dari sudut agama, undang-undang dan nilai kekeluargaan.

“Saya percaya rakyat Malaysia berilmu dan bertamadun, kita perlu bertindak dengan lebih baik dan bijak di masa hadapan terutamanya menonjolkan contoh terpuji kepada generasi akan datang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment