Langkah Dubai tidak akan berjaya

KOTA TINGGI 9 Jan. – Langkah Dubai tidak akan berjaya berikutan Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika ini mendapat sokongan 150 Ahli Parlimen, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, ada laporan mendakwa Langkah Dubai sudah mempunyai akaun bersumpah (SD) mencukupi namun hakikatnya Akta Lompat Parti yang sudah berkuat kuasa tidak memungkinkan ia berlaku.

“Walaupun ada ketua pemuda sebuah parti politik menyatakan bahawa dokumen sokongan lima Ahli Parlimen kepada PMX sebelum ini boleh dijadikan asas untuk menyokong seseorang menjadi Perdana Menteri yang baharu, saya berpandangan itu tidak akan berlaku.

Ini kerana kita (Kerajaan Perpaduan) ada 150 Ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan dan PMX. Maka saya fikir eloklah mereka yang mempunyai angan-angan besar jadi PM atau partinya akan melonjakkan seseorang jadi PM, supaya jangan lagi buang masa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas taklimat banjir Kota Tinggi dan meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Jaya.

Zahid sebelum itu berkata, SD yang didakwa dikumpul PN untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan tidak boleh diterima dan tidak sah.

Malahan Zahid juga mendakwa sebenarnya SD berkenaan tidak ada, maka tidak timbul isu dakwaan ada Ahli Parlimen UMNO-BN yang menandatangani SD berkenaan.

Kelmarin, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata PN sudah mempunyai jumlah SD yang mencukupi untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, Sabtu lalu Pejabat Ketua Pembangkang menafikan dakwaan kononnya Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan kepada 118 Ahli Parlimen daripada PN untuk datang menghadap baginda bersama SD masing-masing.

Kenyataan itu didakwa dikeluarkan Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin seperti ditularkan di media sosial, juga adalah palsu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO meminta Ahli Parlimen pembangkang supaya tidak meneruskan naratif kononnya Kerajaan Perpaduan goyah dan bakal tumbang.

Katanya, ia hanya akan menjejaskan keyakinan pelabur asing untuk melabur di negara ini.

“Saya mahu Ahli Parlimen yang kononnya taat setia kepada negara, mereka mesti mendukung apa yang dilakukan PMX untuk mendapat keyakinan pelabur asing. Jangan jejaskan keyakinan itu dengan mengatakan kerajaan yang ada sekarang goyah dan mahu bertukar,” katanya.

Related posts

Leave a Comment