NEW YORK: Sebanyak 1.9 juta orang atau hampir 85 peratus daripada jumlah penduduk Gaza dianggarkan hilang tempat tinggal, demikian menurut Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
Jumlah itu termasuk penduduk yang telah berpindah beberapa kali kerana mencari tempat selamat untuk berlindung di mana hampir 1.4 juta orang pelarian dalam negara (IDP) berlindung di 155 kemudahan UNRWA di semua lima wilayah.
Rafah kini menjadi tempat perlindungan utama bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal dengan lebih sejuta orang tinggal berhimpit-himpit di dalam ruang yang sangat sesak di wilayah itu
Ini berikutan peningkatan pertempuran di Khan Younis dan Deir al Balah, selain perintah pengusiran tentera Israel.
UNRWA berkata, bilangan IDP di wilayah utara tidak dikemas kini sejak 12 Oktober lepas kerana kekangan akses dan keadaan keselamatan yang menghalang pengesahan dibuat.
(Foto fb UNRWA)
