PADU elak ketirisan subsidi

PUTRAJAYA 2 Jan. –  Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka dapat mengelakkan ketirisan dalam pemberian bantuan dan subsidi, serta menjamin dapat dinikmati mereka yang berhak,  kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, peluncuran PADU adalah sejajar dengan pendekatan transformasi digital negara dan penyasaran semula subsidi dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

“Subsidi yang diberikan kerajaan mencecah RM80 bilion. Dalam semua kajian, (subsidi) tidak sampai sepenuhnya kepada kumpulan sasaran.

Sistem PADU adalah selaras dengan pendekatan transformasi digital dan menjamin manfaat kemudahan dinikmati orang berhak dan tentunya dengan cara itu (dapat) kurangkan kos dan ketirisan,” katanya pada pelancaran PADU di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Anwar berkata, penyasaran semula subsidi penting memandangkan ketika ini subsidi yang mencecah RM80 bilion dinikmati golongan kaya dan bukan warganegara.

Beliau berkata, penyasaran semula subsidi membabitkan elektrik memperlihatkan golongan kaya yang menjadi pengguna tinggi elektrik tidak lagi menikmati subsidi.

Katanya, penyasaran semula subsidi elektrik itu membolehkan penjimatan lebih RM4 bilion.

PADU dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), dengan kerjasama dan sokongan pelbagai kementerian, agensi serta Kerajaan Negeri.

Hasil daripada komitmen dan kesungguhan semua yang terbabit, PADU dapat direalisasikan dalam tempoh enam bulan.

‘PADU Go-Live’ bermula hari ini dan akan dibuka sehingga 31 Mac 2024 kepada pengguna bagi membolehkan pengemaskinian maklumat individu.

Pengemaskinian itu penting bagi membolehkan kerajaan mempunyai maklumat terkini dan memastikan tiada individu yang tercicir daripada menerima bantuan selayaknya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment