SEPANG 2 Jan. – Sekurang-kurangnya tiga strategi perlu dilakukan PKR untuk parti itu kembali kuat pada Pilihan Raya Umum ke 16 (PRU16), sesuai dengan kedudukan Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hassan Abdul Karim berkata, strategi itu termasuk pemimpin-pemimpin utamanya kembali bertanding di negeri masing-masing pada PRU16 akan datang.
PKR juga perlu merampas kembali semua kerusi Parlimen yang telah tewas dalam PRU15 dari Kangar Perlis hingga ke Tawau Sabah dan Puncak Borneo di Sarawak.
Di samping itu katanya, calon-calon yang berpotensi, berkalibar dan berpengalaman seperti Nurul Izzah Anwar pula perlu mengetuai usaha untuk menawan balik kerusi-kerusi Parlimen yang telah kalah.
“Jika Nurul Izzah yang mempunyai watak kepemimpinan yang karismatik seperti Benanzir Bhutto dan Megawati Sukarnoputeri berjaya dalam mission tersebut, tanpa syak lagi Nurul Izzah yang dalam bahasa Inggeris memiliki ” Prime Minister materials ” akan muncul kembali sebagai pemimpin masa depan PKR,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas strategi pemimpin utama kembali ke negeri masing-masing, beliau mengambil contoh Timbalan Presiden Rafizi Ramli (Pandan) yang berasal dari Terengganu dan Naib Presiden Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) dari Kelantan.
Katanya, mereka perlu mencontohi Allahyarham Salahudin Ayob yang semasa bersama Pas satu waktu dahulu pernah menang di kerusi Parlimen Kubang Krian di Kelantan tetapi pulang ke Johor pada PRU13.
“Beliau sanggup meninggalkan kerusi selamat di Kubang Krian, Kelantan untuk bertanding di Pulai, Johor, kalah tetapi Salahudin tidak lari, terus berkubu di Pulai dan pada PRU 14 tahun 2018, Salahudin menang di Pulai.
Pada PRU 15 Salahudin sekali lagi menang di Parlimen Pulai dan apabila Salahudin meninggal dunia pada tahun 2023, Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai diadakan, Suhaizan Kayat dari Parti Amanah (PH) mencapai kemenangan di Pulai,” katanya.
Justeru pemimpin utama seperti Rafizi perlu berani mengambil cabaran dan risiko untuk kembali bertanding di negeri asalnya, Terengganu, memandangkan PKR pernah menang di Parlimen Kemaman pada PRU 1999.
Nik Nazmi juga perlu menyahut cabaran itu dan pulang ke Kelantan untuk memimpin medan perang pilihan raya dengan sandaran bahawa pada tahun 1999 tiga kerusi Parlimen di Kelantan iaitu Kota Bahru, Ketereh dan Tanah Merah dimenangi PKR.
“Malah Nik Nazmi juga adalah Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan. Kesedaran ini penting supaya PKR dapat merampas kembali semua kerusi Parlimen yang tewas dalam PRU15,” katanya.
Pada PRU15, PKR kalah sebanyak 18 kerusi yang pernah dimenanginya pada PRU14, di mana ia mencatatkan kekalahan teruk di negeri-negeri di Utara Semenanjung dan juga di Pantai Timur serta prestasi merosot di Pulau Pinang.
Selangor yang menjadi benteng kebal PKR sejak PRU tahun 2008 sehingga berjaya mengetuai kerajaan negeri selama tiga penggal menerima tamparan di mana PKR kalah di dua kerusi Parlimen yang dianggap kebal iaitu Kuala Langat dan Kapar.
“PKR kena sedar satu realiti ‘real politic’ kerana ketika ini Anwar menjadi ketua Pakatan Harapan dan Ketua Kerajaan Perpaduan dengan sekurang-kurangnya memiliki 31 kerusi Parlimen dari PKR.
“Jika PKR tidak bersedia dengan strategi ampuh untuk memenangi PRU16, ada kemungkinan kerusi PKR akan hilang 50 peratus dan PKR mungkin hanya memiliki sekitar 15 kerusi Parlimen, mungkin termasuk Parlimen Tambun.
“Jika senario seperti itu benar-benar berlaku, ketika Anwar masih lagi sihat, penuh idealism, bersemangat tinggi serta mempunyai perancangan dan komitmen rapi untuk dilaksanakan demi rakyat dan negara, tetapi Presiden Keadilan Rakyat hanya ada kira-kira 15 kerusi Parlimen sahaja, maka ketika itu adakah parti-parti politik lain sudi untuk memilih Anwar menjadi Perdana Menteri bagi penggal keduanya?” katanya.
