GUA MUSANG 12 Julai – Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan tindakan Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul mengekalkan kerusi bekas enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri sebagai pelik dan bermotifkan politik.
Bekas Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, secara dasarnya keenam-enam bekas Ahli Parlimen Bersatu itu perlu mengosongkan kerusi mereka kerana tidak lagi sehaluan dengan parti yang disertai dengan mengubah ‘kiblat’ menyokong parti lain.
“Ini semua adalah alasan politik yang diberikan (mengekalkan kerusi mereka), bukan dari segi undang-undang atau pun tujuan sebenar kita pinda Perlembagaan dulu.
Jadi, sebaiknya enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang mengalih kesetiaan kepada parti yang lain dan tak mahu lagi sokong arahan partinya sendiri, mesti kosongkan kerusi ini. Itu tafsiran orang biasa.fikir. Saya pun fikir yang sama,” katanya.
Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, sepatutnya hanya ada satu tafsiran kerana peruntukan dalam perlembagaan itu sama.
“Kalau kosong di Kelantan kerana menggunakan peruntukan perlembagaan sama yang dipinda oleh Parlimen untuk menyekat orang melompat parti, maka di Parlimen pun sama.
Tak boleh berbeza antara satu dengan yang lain kerana peruntukan dalam perlembagaan itu sama. Kekosongan kerusi di Kelantan itu mesti diwujudkan kerana wakil (wakil rakyat) sudah memberi sokongan kepada parti lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu rakaman video yang dimuat naik di laman sosial, TikTok pada Jumaat bagi mengulas keputusan Johari mengekalkan status enam bekas anggota Parlimen Bersatu yang keahlian mereka terhenti.
Mengulas lanjut, Razaleigh mendakwa Speaker Dewan Rakyat bimbang dan takut ketidakstabilan Parlimen jika mengisytiharkan kekosongan enam kerusi yang disandang oleh bekas ahli Bersatu.
“Ataupun dia (Johari) memikirkan ini akan tidak akan menjamin supaya Kerajaan Madani akan terus dapat bertindak dengan wajarnya. Jadi ini semuanya alasan-alasan politik yang diberikan, bukan dari segi undang-undang tujuan sebenar kita pinda perlembagaan dahulu,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau menegaskan agar kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim untuk tidak takut jika enam kerusi Parlimen itu dikosongkan.
“Saya pun hairan mengapa kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar takut kepada enam kerusi ini dikosongkan oleh sebab dia pernah berkata, dia mempunyai hampir dua pertiga menyokong dia di Parlimen Apa yang takut, tak perlu takut.
“Nampaknya politik lebih daripada segala-galanya,” kata Razaleigh.
Terdahulu Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mengesahkan pihaknya menerima surat daripada Johari memaklumkan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, kekal sebagai wakil rakyat.
Mereka adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Nnn