Dr Sam tidak perlu letak jawatan MB

KEMAMAN 18 Nov. – Tidak perlu letak jawatan. Itu reaksi Presiden Pas Abdul Hadi Awang susulan kenyataan Ketua Penerangan UMNO,  Azalina Othman Said, yang mencabar Menteri Besar Terengganu meletak jawatan bagi memberi fokus pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal ditandinginya.

Presiden Pas itu berkata, tidak menjadi kesalahan bagi seseorang menteri besar atau ketua menteri menjadi ahli Parlimen pada masa yang sama.

“Ada berapa menteri besar, ketua menteri jadi ahli parlimen (Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan). Saya pun pernah jadi Menteri Besar dan Ahli Parlimen, jadi ketua pembangkang, itu biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di pekarangan Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman di sini, hari ini.

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tidak perlu meletak jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu semata-mata untuk memberi fokus sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman mewakili Perikatan Nasional (PN), 2 Disember ini.

Semalam, Azalina mencabar Ahmad Samsuri meletak jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu bagi memberi fokus pada PRK yang bakal ditandinginya.

“Kalau betul dia yakin (menang), saya nak cabar dia hari ini letak jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu…fokus kepada Parlimen Kemaman (dan) lawan satu dengan satu (baru) adil.

“Sebab kita rasa, kita kuat tapi dia nak bertanding atas tiket sebagai Menteri Besar sebab bila kalah (masih) boleh jadi Menteri Besar,” kata Azalina.

Sementara itu, Ahmad Samsuri ketika ditemui, hanya mahu memberi tumpuan terhadap kempen PRK Kemaman.

“Dalam keadaan tertentu, banyak isu negeri boleh dibawa terus ke peringkat pusat dan Dewan Rakyat, itu hanya perlu diuruskan,” katanya.

Ketika ini, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, adalah Ahli Parlimen.

(Foto Pas)

Related posts

Leave a Comment