Tibi bukan wabak, masih terkawal

SERDANG 18 Nov. –  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan penyakit tibi sentiasa ada di negara ini namun ia bukanlah wabak dan keadaannya masih terkawal, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, taburan penyakit itu hanya berlaku di Lembah Klang dan orang ramai diharap tidak panik kerana penyakit tibi itu masih dalam kawalan manakala Bahagian Kesihatan Awam KKM sedang meneliti isu berkenaan.

Katanya, KKM turut menyarankan orang ramai yang mengalami batuk berpanjangan untuk berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan.

“Perkembangan penyakit tibi boleh dirujuk melalui aplikasi MySejahtera kerana KKM sudah merekodkan jumlah kes di kawasan masing-masing atau berdekatan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Minggu Kesedaran Kerintangan Antimikrob (WAAW) Peringkat Kebangsaan 2023 dan Pelancaran Pelan Tindakan Kerintangan Antimikrob Malaysia (MyAp-AMR 2022- 2026) di di sini, hari ini.

Tuberkulosis (tibi) atau batuk kering satu penyakit yang melemahkan badan dan menjadi endemik di negara ini berpunca daripada bakteria Mycobacterium tuberculosis.

Ia menyerang bahagian berbeza pada tubuh badan. Paru-paru yang dirujuk sebagai tuberkulosis paru-paru (PTB) adalah organ paling biasa diserang.

Tuberkulosis ekstrapulmonari (EPTB) istilah digunakan untuk mengkategorikan tibi apabila ia nyata di bahagian lain badan, termasuk nodus limfa, tulang (kebiasaannya tulang belakang) dan dalam kes yang jarang berlaku pada usus.

Mereka yang paling terdedah kepada jangkitan penyakit ini termasuk orang tua, yang rendah imuniti seperti pesakit kencing manis, menjalani terapi steroid kronik dan penghidap HIV.

Dr Zaliha berkata, jumlah pesakit tibi akan dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam masa terdekat.

Beliau menegaskan, orang ramai tidak perlu bimbang kerana penyakit itu boleh dicegah melalui suntikan vaksin.

Baru-baru ini tular laporan mengenai penyakit tibi di beberapa kawasan perumahan di Cheras yang mengingatkan orang ramai memakai pelitup muka dan hidung jika memasuki kawasan berkenaan.

Related posts

Leave a Comment