RM225 juta laksana PPH di enam negeri

KUALA LUMPUR 9 Nov. –  Sebanyak RM225 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Penyeragaman Harga (PPH) tahun depan yang bertujuan memastikan penduduk di pedalaman dapat menikmati harga kawalan tujuh barangan yang ditetapkan.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, berkata tujuh barangan kawalan itu adalah beras, gula, tepung gandum, minyak masak, gas petroleum cecair (LPG), petrol RON95 dan diesel.

Kerajaan juga akan meningkatkan lokasi pusat jualan bagi PPH kepada 1,727 berbanding 1,061 kini yang meliputi Sabah, Sarawak, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Katanya PPH memberi peluang kepada penduduk di kawasan pedalaman untuk membeli tujuh barangan itu pada harga kawalan dan harga sama seperti di bandar atau pekan terdekat apabila kerajaan menanggung kos pengangkutan.

Beliau mengambil contoh, sebelum PPH, harga LPG setong 14 kilogram (kg) di Zon Pensiangan ialah RM65 tetapi selepas program ini dilaksanakan, LPG itu dijual hanya pada harga RM26.60 setong.

Armizan memberitahu Dewan Rakyat ketika menjawab soalan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) mengenai keberkesanan pelaksanaan PPH dalam menangani kos sara hidup penduduk di kawasan pedalaman, terutama di Sabah.

Menurut Armizan, pelaksanaan PPH memberikan implikasi kewangan sebanyak RM93 juta terhadap kerajaan pada 2009 dan meningkat kepada RM225 juta bagi tahun ini dan tahun depan.

Menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) sama ada terdapat cadangan untuk memperluas senarai barangan dimasukkan ke dalam PPH, Armizan berkata, perkara itu perlu mengambil kira aspek ruang fiskal yang ada terlebih dahulu.

Katanya, ada kawasan tertentu yang lokasi pusat jualannya dianggap sudah ‘graduate’ berikutan mempunyai akses jalan raya dan liputan bekalan lebih dekat.

(Foto FB Armizan)

Related posts

Leave a Comment