KUALA LUMPUR 9 Nov. – “Saya terima dengan hati terbuka, saya akur dan faham keputusan hari ini bukanlah keputusan yang mudah ditelan kerana ia keputusan yang mana disabitkan (kesalahan),” kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Ahli Parlimen Muar itu berkata, beliau akan memfailkan rayuan untuk membuktikan bahawa dirinya tidak bersalah.
“Walaupun dapat penangguhan pelaksanaan hukuman, tetapi saya perlu buat rayuan ke peringkat Mahkamah Rayuan. Namun buat masa ini, saya terima semua hukuman seadanya,” katanya pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Beliau sebelum itu dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas didapati bersalah terhadap empat tuduhan pecah amanah, salah guna wang dan pengubahan wang haram dana ARMADA Bersatu.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata beliau dan barisan peguam akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan, pada petang ini.
“Saya telah pun berbincang dengan para peguam dan mereka memaklumkan bahawa kami ada kes yang baik untuk difailkan secepat mungkin ke peringkat Mahkamah Rayuan.
Ini supaya akhirnya institusi kehakiman dan mahkamahlah yang akan menjadi penentu terakhir nasib saya dan menjadi medan yang terbaik untuk membersihkan nama saya,,” katanya.
Beliau berkata beliau masih meletakkan kepercayaan kepada institusi kehakiman negara namun menghormati segala keputusan yang ditentukan di medan mahkamah.
‘Sebagai salah seorang penggubal dasar, saya perlu meletakkan kepercayaan ke atas institusi kehakiman negara, hari ini, sebelum ini dan pada masa akan datang.
“Lazimnya ia adalah benteng terakhir bagi rakyat Malaysia dan tidak ada beza saya dengan rakyat lain. Kalau orang lain perlu menghormati keputusan mahkamah, saya turut perlu menghormati keputusan mahkamah,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden MUDA itu memberitahu satu mesyuarat tergempar bersama dengan pimpinan MUDA akan berlangsung pada pukul 4 petang ini yang akan turut membincangkan masa depan politiknya.
“Saya telah membuat pendirian saya berkenaan masa depan politik saya. Cuma ‘as a party’s man’, saya perlu bincangkan dengan parti supaya dapat dimuktamadkan bersama saya,” katanya.
