Syed Saddiq dipenjara 7 tahun, 2 sebatan, denda RM10 juta

KUALA LUMPUR 9 Nov. –  Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dikenakan hukuman penjara tujuh tahun dengan dua sebatan, serta denda RM10 juta selepas didapati bersalah terhadap kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan penggubahan wang haram.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat melakukan pecah amanah sebanyak RM1 juta dana milik sayap Angkatan Muda Bersatu (Armada) pada Mac 2020.

Syed Saddiq diarah menjalani hukuman penjara selama tiga tahun dan satu kali sebatan.

Bagi pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 sumbangan parti milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, beliau dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan sekali sebatan.

Bagi dua pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan dua transaksi RM50,000 setiap satu, beliau dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM5 juta, yang akan berjalan serentak.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan selama empat tahun jika gagal membayar denda.

Hakim membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan hukuman penjara sementara rayuan dikemukakan dan mengarahkan syarat jaminan dikekalkan.

Related posts

Leave a Comment