SHAH ALAM 17 Jun – Perikatan Nasional (PN) akan memuktamadkan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) enam negeri yang terbabit Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 22 Jun ini.
Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, berkata secara keseluruhan pembahagian kerusi di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu sudah selesai.
“Kita akan memuktamadkan dan materikan (pembahagian kerusi) pada mesyuarat 22 Jun di Ibu Pejabat PN di Kuala Lumpur. Semua yang dirunding akan diselesaikan pada 22 Jun, tidak akan berbangkit apa-apa lagi.
“Sekarang boleh dikata dah selesai, cuma nak bagi ruang bincang perkara tertentu,” katanya dalam sidang media selepas Himpunan Pelancaran Jentera Pemuda PN di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi PN Selangor, Mohamed Azmin Ali; Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Sha’ari serta bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang, Noh Omar.
Muhyiddin berkata, parti di bawah PN boleh membuat persiapan lengkap termasuk menyelesaikan nama calon bagi kerusi di bawah parti masing-masing sebaik selesai pembahagian kerusi.
“Pucuk pimpinan parti akan teliti, calon mana paling sesuai, berkelayakan memenuhi kriteria, sudah melalui proses saringan,” katanya.
Mengenai kriteria calon, beliau berkata, PN akan menyeimbangkan calon sedia ada (lama) dan calon muda (baharu).
