Wakil Jeli pula sokong kepemimpinan Anwar

KOTA BHARU 8 Nov. – Atas alasan pembangunan mesti diteruskan di kawasannya yang berstatus pembangkang, seorang lagi ahli Parlimen Bersatu di Kelantan menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Anwar Ibrahim berkuat kuasa hari ini.

Zahari Kechik yang mewakili Parlimen Jeli mengambil keputusan itu tidak sampai 24 jam selepas rakan partinya, Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri.

“Selepas meneliti, memperhalusi dan mempertimbangkan dengan sehabis baik tentang permasalahan yang dihadapi rakyat terkini mengenai kos sara hidup, himpitan mengenai keperluan asas yang perlu dipertingkatkan dan pembangunan yang mesti diteruskan dalam kawasan Parlimen Jeli, maka saya sebagai Ahli Parlimen Jeli dengan ini mengisytiharkan sokongan kepada kepemimpinan Datuk Seri Anwar.

“Saya sedar rakyat mesti diutamakan dan pembangunan mesti diteruskan tanpa sebarang kompromi.

Dalam alaf yang serba mencabar ini selaku Ahli Parlimen, saya harus memberi khidmat yang terbaik buat rakyat dalam Parlimen Jeli,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Seperti rakan lain, beliau tetap akan taat, setia dan kekal sebagai ahli Bersatu dan bersedia menerima risiko tindakan disiplin parti demi memastikan pengundi dan rakyat dalam Parlimen Jeli tidak menjadi mangsa keadaan dan tidak ketinggalan menerima semua bentuk pembangunan dan bantuan daripada Kerajaan Pusat.

” Saya juga mengisytiharkan untuk menyokong sebarang dasar-dasar dan inisiatif yang kerajaan lakukan dalam memulihkan ekonomi negara serta meletakkan kebajikan dan kepentingan rakyat.

Sokongan saya ini berterusan hingga Pilihan Raya Umum (PRU) yang seterusnya,” katanya.

Jelasnya, pengisytiharan sokongan kepada Perdana Menteri itu dibuat tanpa apa-apa paksaan, pengaruh dan tekanan dari mana-mana pihak sebaliknya atas kerelaan beliau sendiri demi rakyat.

“Moga Allah S.W.T akan memberkati dan kepada Allah saya berserah,” katanya.

Semalam, Mohd Azizi mengisytiharkan untuk memberi sokongan penuh kepada kepemimpinan Anwar.

Mohd Azizi berkata, keputusan itu bertujuan untuk memastikan kebajikan penduduk di Parlimen Gua Musang terbela dan akan terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur sebagaimana yang dimohon untuk Parlimen berkenaan dalam tempoh perkhidmatannya.

Related posts

Leave a Comment