Naikkan had umur Puteri kepada 40

KUALA LUMPUR 24 Ogos –  Pergerakan Puteri memohon agar had umur anggota Puteri dinaikkan daripada 35 kepada 40 tahun bagi memberi peluang berbakti dan memastikan kelangsungan sayap UMNO itu.

Exco Puteri, Siti Nor Hasyyati Abd Rahman berkata keberadaan mereka dalam parti bukan semata-mata kerana jawatan.

“Sebahagian yang terlalu besar di kalangan kami, 80 peratus akan meninggalkan Puteri walau hanya sempat memimpin sepenggal. Sedar atau tidak, 15 ketua Puteri Bahagian akan melewati tahap usia yang dibenarkan iaitu 35 tahun,” katanya.

Susulan cadangan itu Hasyyati yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Setiawangsa mencadangkan pada pemilihan yang akan datang diadakan satu sistem kuota dalam memilih barisan kepemimpinan Puteri di semua peringkat.

Ini kerana pemegang jawatan sekarang yang berumur lebih 35 tahun boleh menawarkan diri bertanding sekali lagi selagi tidak mencecah umur 40 tahun dan calon yang pertama kali menawarkan khidmat mestilah berumur di bawah 35 tahun.

Manakala di peringkat Jawatankuasa, 50 peratus daripada barisan kepemimpinan adalah di bawah umur 35 tahun dan jawatan-jawatan lantikan mesti terdiri daripada mereka yang berumur di bawah 35 tahun.

“Kaedah ini penting bagi memastikan kelangsungan pimpinan dan juga yang paling penting, pemimpin yang akan berhadapan dengan PRU akan datang terdiri daripada mereka yang telah melalui proses kematangan dan juga memahami selok belok menguruskan perjalanan pilihan raya,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 sebagai pembahasa mewakili Pergerakan Puteri UMNO bagu membawa usul ucapan dasar Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Hasyyati dalam pada itu turut berharap setiap daripada akar umbi mengambil tanggungjawab bersama demi kelangsungan parti, supaya memberi kesedaran kepada anak-anak mereka untuk menjadi ahli Puteri dan Pemuda.

Katanya adalah lebih mudah ibu bapa meminta anak-anak melibatkan diri sebagai anggota parti.

Nnn

Related posts

Leave a Comment