Kena jadi Rambo hadapi broker politik”

ALOR SETAR 8 Nov. –  Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa ada broker politik yang memainkan peranan sehingga beberapa Ahli Parlimen Bersatu bertindak menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mendakwa, antara tindakan broker itu memerangkap Ahli Parlimen PN yang terdesak mendapatkan peruntukan bagi kawasan masing-masing sehingga terpaksa menyokong Anwar untuk terus berkuasa.

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dan Pas Pusat, itu berkata, menjadi tugas broker berkenaan mendekati wakil rakyat yang disasarkan dan menawarkan habuan supaya mereka beralih sokongan.

Bercakap pada sidang media di sini, beliau mendakwa, mereka yang berkenaan menggunakan taktik menjerut supaya mengalah.

“Saya rasa punca utama ialah tidak wujud peruntukan untuk berkhidmat di kawasan masing-masing, itu saja. Mungkin itu cara mereka untuk memerangkap Ahli Parlimen pembangkang supaya menyokong Perdana Menteri,” katanya

Beliau turut mengambil contoh teknik memotong bekalan air, bekalan elektrik, bekalan ubat-ubatan, mengebom hospital yang dilakukan supaya rakyat di Gaza, Palestin menyerah diri.

“Ini strategi yang sama, kalau saya sebut keras sangat, tapi itulah caranya. Kenakan sekatan supaya mereka berputus asa, ada tiga daripada mereka (Ahli Parlimen PN) yang menyerah diri, terperangkap dengan strategi sama,” katanya.

Muhammad Sanusi diminta mengulas tindakan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim semalam, yang mengumumkan memberi sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri.

Katanya , broker politik bukan sekadar tuduhan melulu sebaliknya pernah berlaku ketika era pemerintahan Pas sebagai kerajaan negeri di Kedah di bawah pimpinan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

“Saya sendiri alami pada tahun 2008, saya melepasinya tanpa sebarang bayaran. Ketika itu saya ‘jaga’ wakil rakyat (PKR) yang didekati, lompat dua tinggal tiga, selepas didatangi broker politik.

“Akan ada cubaan, dugaan dan cabaran dicekik, kena jadi ‘Rambo’. Ada sepanjang hayat broker ini, saya biasa hadapi dan berjaya lepasi tanpa dibayar.

“Itu antara proses broker politik buat kerja, saya hadapinya dengan tenang dan alhamdulillah kerajaan Pas ketika itu tidak terbalik. Itulah pengalaman saya berdepan broker politik,” katanya.

Related posts

Leave a Comment