Anwar tegaskan PKR bukan anggota LI

KUALA LUMPUR 7 Nov. –  Presiden PKR Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa parti itu tidak pernah menjadi anggota pertubuhan antarabangsa Liberal International (LI).

Justeru, beliau yang juga Perdana Menteri berharap isu itu yang tular di media sosial baru-baru ini tidak dipolitikkan.

“Soal liberal international (organisasi politik antarabangsa) Yang Berhormat boleh semak kita tidak pernah menjadi anggota.

“Kita pada peringkat awal (menjadi) associate, tapi oleh kerana ada beberapa keputusan mereka termasuk mengiktiraf lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta pendirian (menyokong) Israel, kita tidak menjadi ahli,” katanya.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas) yang meminta penjelasan sama ada PKR pernah menjadi ahli pertubuhan yang menyokong Israel.

Anwar bagaimanapun mengakui pernah menghadiri dan menyampaikan ucaptama pada persidangan antarabangsa LI di Kaherah, Mesir, antaranya turut disertai ketua parti pembangkang di Mesir ketika itu, Ayman Nour; wakil Ikhwan al Muslimim (Muslim Brotherhood) Mahdi Akif, dan Mohamed Morsi (sebelum beliau menjadi Presiden Mesir).

Anwar berkata Mahdi Akif yang turut mendengar ucaptama itu, mengucapkan tahniah atas pendirian tegas yang disampaikannya dalam menyentuh isu berkaitan kezaliman, hak kepada rakyat dan Palestin.

“Jadi bayangkan.. berbeza dengan sesetengah pendapat kita, betul saya hadir (persidangan itu)… kita juga hadir di United Nations (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan di PBB, Israel merupakan anggota yang diiktiraf.

“Namun kita hadir sebagai anggota (PBB) tidak bermakna kita ada kena-mengena dengan Israel. Kita tidak ada hubungan dengan Israel,” kata Perdana Menteri.

Mengenai pendirian LI menyokong Israel, Anwar berkata PKR telah memutuskan hubungan dengan pertubuhan itu dan perkara berkenaan telah dimaklumkan Menteri Komunikasi dan Digital yang juga Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil.

“Oleh yang demikian kita putus hubungan, dan ini dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital selaku Ketua Penerangan (PKR).

“Kalau ditanya… dalam hubungan dengan beberapa badan antarabangsa yang saya pernah hadir… saya hadir, saya sebagai pengerusi, tetapi ada had dia. Bila timbul masalah pengiktirafan Israel, maka saya kata (itu) batas kita, tetapi rundingan dalam kesemua isu lain, saya teruskan umpamanya dalam ASEAN,” katanya.

Fahmi pada Jumaat lalu memaklumkan PKR tidak pernah menjadi ahli kepada LI susulan terdapat dakwaan yang mengaitkan parti berkenaan dengan pertubuhan antarabangsa itu.

Memetik contoh hubungan antara negara ASEAN, Anwar berkata pendirian setiap negara mengenai perjuangan menyokong Palestin adalah berbeza namun negara-negara ahli ASEAN mempunyai hubungan baik.

Beliau mengambil contoh Filipina yang lebih cenderung bersetuju dengan pendirian Amerika Syarikat (AS) walaupun tidak sekeras itu, tetapi dalam hubungan dua hala Malaysia masih baik dengan Filipina.

Katanya, dalam soal Palestin, dalam kalangan ASEAN hanya Malaysia, Indonesia dan Brunei nampak betul-betul kuat sepakat.

Anwar berkata, ketika berjumpa dengan Perdana Menteri Thailand yang baharu Srettha Thavisin, beliau meminta jika boleh negara itu tidak terlalu kuat dengan pendirian pro-AS dalam Palestin kerana ini akan menyinggung dan menimbulkan keresahan dalam sebahagian masyarakat Thailand dan Malaysia.

Related posts

Leave a Comment