Bawa idea kurangkan beban Palestin

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Perdana Menteri  Anwar Ibrahim, meminta semua pihak termasuk pembangkang bergerak ke depan dan bersama membawa idea serta tindakan dalam isu Palestin bagi mengurangkan beban ditanggung rakyat negara itu.

Beliau  berkata dalam hal berkaitan Palestin, pihaknya tidak pernah menyinggung Pas berikutan pendirian parti itu yang sangat konsisten dalam menyokong rakyat negara berkenaan.

“Saya setuju dalam hal ini, saya tidak pernah menyinggung Pas kerana saya tahu pendirian Pas, sangat konsisten dalam Palestin… tidak mahu berbalah dalam soal ini kerana derita ditanggung mereka (Palestin) tidak pernah berlaku separah ini dalam sejarah.

“Mari kita bersama membawa idea dan tindakan supaya dapat meleraikan atau mengurangkan beban mereka,” katanya pada sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau memberi reaksi itu selepas Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) bangkit mencelah untuk semua bersama dalam isu Palestin dengan kedua-dua pihak menghapuskan sebarang tularan tidak perlu, sebaliknya menumpukan usaha membantu mereka dalam apa cara sekalipun.

Perdana Menteri juga menjelaskan yang beliau marah terhadap paparan gambar berlatarbelakangkan bendera Israel dan ia perlu diperbetulkan Harakah.

“Mengapa saya marah? Gambar saya dibelakangnya bendera Israel, YB harus faham yang YB juga keras dan marah dengan Israel, sayapun begitu. Tidak apa hendak tegur, hendak marah, kritik saya dalam soal lain saya terima dengan baik.. tetapi dalam hal ini, jangan.

“Jika penjelasan dibuat itu, saya ucapkan terima kasih dan kita boleh bergerak ke depan,” katanya.

Sebelum itu, Datuk Ahmad Saad@Yahaya (PN-Pokok Sena) bangkit merujuk kepada laporan akhbar Harakah bertajuk ‘Malaysia di bawah Anwar ragu-ragu sokong Palestin?’ yang disifatkannya sebagai persoalan dan bukan tuduhan.

Related posts

Leave a Comment