KUALA LUMPUR 7 Nov. – Anwar Ibrahim menegur beberapa pihak terutama media di negara ini yang menggelar Hamas sebagai pengganas atau militan sehingga mencetuskan kegelisahan dan sensitiviti rakyat yang menyokong perjuangan Palestin.
Perdana Menteri berkata, perlu ada kesedaran supaya semua media faham kegelisahan dan sensitiviti rakyat serta mengiktiraf hak rakyat Palestin untuk membantah dan bertindak.
Katanya, setiap media perlu sedar bahawa isu Palestin ini membabitkan serangan melampau dilakukan Israel, genosid dan melanggar hak kemanusiaan manakala Hamas adalah pejuang yang mempertahankan tanah air mereka.
“Saya selalu ungkapkan, perampasan tanah, harta, maruah itu terus diperkosa dan dihina, jadi ada hak untuk mereka bangkit,” katanya menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang).
Wan Ahmad Fayhsal meminta Perdana Menteri menegur dan mengambil tindakan ke atas media terutama media berbahasa Mandarin dan Inggeris yang menggelar Hamas sebagai militan atau pengganas.
Anwar menjelaskan dalam jawapan minggu lalu, beliau sengaja kaitkan mengenai kedudukan Kristian yang menjadi mangsa keganasan Yahudi supaya rakyat Malaysia tahu ini adalah isu kemanusiaan dan kezaliman dilakukan Israel.
“Jadi berkait gesaan Yang Berhormat, saya setuju mengingatkan rakyat, semua media, bahawa ada yang dikatakan legitimate hak asas, bermaksud mana-mana negara yang dijajah, yang dizalimi, berhak, contoh terbaik, Kongres Kebangsaan Afrika (ANC),” katanya.
