KUALA LUMPUR 10 Okt. – Pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah akan disegerakan susulan kemajuan projek itu yang amat perlahan berbanding di Sarawak, kata Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, Kementerian Kewangan diarah untuk menyegerakan projek itu manakala Timbalan Perdana Menteri 2, Datuk Seri Fadillah Yusof ditugaskan untuk memastikan pembinaan lebuh raya itu tidak lagi tertangguh.
“Saya sudah memberitahu Kementerian Kewangan dan dipersetujui untuk ‘fast track’ (disegerakan). Asalkan ada proses perolehan dan tender, kita lakukan ‘fast track’ di kawasan Sabah.
“Ini disebabkan projek Pan Borneo ini sudah berpuluh tahun tertangguh dan peruntukan ada. Jadi, oleh kerana kita sudah janji kepada rakyat Sabah dan Sarawak, tiada alasan untuk kita lengahkan.
Selain itu, dalam Kembara (Kenali Borneo) Yang di-Pertuan Agong, perkara yang dibangkitkan setiap kali baginda berhenti di mana-mana pusat, soal yang ditanya adalah mengenai Pan Borneo lebih bermasalah di Sabah dan keduanya, jalan yang teruk.
“Kadangkala, peruntukan disampaikan tetapi kelewatan dalam pelaksanaan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohd Shafie bertanyakan mengenai kelewatan projek Pan Borneo Sabah, berbanding di Sarawak yang sudah hampir siap, selain masalah bekalan air yang berterusan disebabkan isu ketirisan.
Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dimulakan pada Julai 2016 membabitkan 35 pakej kerja sepanjang 706 kilometer (km) yang bermula dari sempadan Sabah dan Sarawak di Sindumin hingga ke Tawau.
Ogos lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan, Fasa 1 projek berkenaan membabitkan 15 pakej kerja berada pada tahap 82 peratus pembinaan dan dijadual siap sepenuhnya Januari 2025.
Mengenai bekalan air di Sabah, Perdana Menteri berkata, masih ada perundingan khas dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk menangani masalah itu kerana beberapa kawasan menghadapi masalah yang agak serius.
“Insya-Allah, dalam beberapa aspek saya akan umum pada Jumaat ini (dalam Belanjawan 2024) tetapi dari sudut ketirisan, kita perlu tegaskan dan saya minta agensi penguat kuasa supaya jangan bertolak ansur serta pastikan jangan ada lagi ketirisan,” katanya.
