Pakar saran Indonesia perketat sekatan

JAKARTA 29 Jun – Pakar kesihatan menyarankan Indonesia menguatkuasakan sekatan Covid-19 dengan lebih ketat susulan amaran bakal berlaku gelombang penularan varian Omicron pada minggu kedua atau ketiga Julai ini.

Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin, menjangkakan situasi itu berdasarkan corak asas penularan di Afrika Selatan yang juga negara pertama melaporkan kemunculan subvarian Omicron iaitu BA.4 dan BA.5.

Sekiranya kadar penularan sama berlaku di Indonesia, beliau menganggarkan negara itu akan merekodkan sekitar 17,000 atau 18,000 kes harian semasa bagi tempoh puncak sebelum gelombang kembali mendatar.

“Tetapi angka kemasukan ke hospital dan kematian akan jauh lebih rendah, berbanding gelombang terdahulu,” katanya.

Dalam tempoh beberapa minggu lalu, Indonesia merekodkan peningkatan jangkitan Covid-19 dan semalam, republik itu merekodkan 2,167 kes iaitu tertinggi sejak April lalu.

Sejak Jumaat lalu, Indonesia mencatatkan sekurang-kurangnya 143 kes membabitkan Omicron BA.4 dan BA.5.

Walaupun pakar kesihatan memberi amaran angka itu hanya sebahagian kecil daripada yang sebenarnya kerana kurang ujian dan pengesanan kontak, ia terus menjadi asas masalah negara sejak pandemik diisytihar dua tahun lalu.

Beberapa wilayah seperti Jakarta dan Banten merekodkan kadar positiviti melangkau piawaian lima peratus seperti ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ia menentukan sebarang kadar di bawah peratusan ditetapkan bermaksud wabak itu terkawal.

Budi Gunadi berkata, positiviti nasional di republik berkenaan ketika ini di paras 3.61 peratus.

Indonesia pada waktu puncak gelombang terdahulu, kes harian pernah mencapai sehingga 60,000 kes sehari.

Related posts

Leave a Comment