Produk rokok: Alasan tangguh RUU lemah

SEPANG 10 Okt. –  Apa yang sebenarnya berlaku? Itu persoalan yang dilontarkan selepas kerajaan menarik semula bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau RUU Generasi Penamat (GEG) di Parlimen, hari ini.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia Amrahi Buang, menyifatkan alasan yang diberikan oleh kerajaan adalah lemah, sekaligus menimbulkan tanda tanya bukan sahaja dalam kalangan Ahli Parlimen tetapi juga rakyat.

Beliau berkata , penarikan semula itu ternyata mengecewakan rakyat kerana tindakan terbabit menggambarkan kerajaan tidak serius dalam melaksanakan tanggungjawab melindungi generasi muda.

“Apakah yang sebenarnya berlaku? Saya dan rakan lain sangat berdukacita atas tindakan kerajaan menarik balik bacaan kali kedua RUU ini tanpa penjelasan yang tuntas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan, RUU ini ditarik balik kerana ia perlu dibawa dan diluluskan ke Kabinet walaupun sebelum ini Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, RUU tersebut akan dibentang untuk bacaan kedua di Dewan Rakyat, 10 Oktober 2023. 

Sebelum ini, satu taklimat KKM kepada ahli Parlimen dan media sepatutnya diadakan pada pukul 5 petang semalam, ditunda ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Amrahi berkata, tindakan pusingan U menggambarkan kerajaan tidak serius dalam melaksanakan tanggungjawab melindungi rakyat khususnya golongan bawah 18 tahun daripada racun nikotin dan bahan lain yang dalam rokok elektronik dan vape.

“Mana pergi sifat ihsan kerajaan terhadap rakyatnya?” katanya

RUU itu dibawa Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan, Jun lalu, bagi mendapatkan pandangan bipartisan di Parlimen berhubung penambahbaikan RUU ini.

Kelmarin, laporan JKPK ini sudahpun menjalankan tanggungjawabnya dengan mengesyorkan RUU ini dibentangkan di Parlimen untuk sesi ketiga 2023 ini.

Pada masa sama, Amrahi berkata, dengan perkembangan terbaharu ini, rakyat dikhuatiri terus terdedah kepada ancaman rokok elektronik dan vape yang tidak dikawal.

Beliau berkata, ia lagi parah apabila tiada kawalan undang-undang untuk mengawal racun nikotin apabila bahan cecair dan gel nikotin dikeluarkan daripada senarai racun dibawah Akta Racun (Pindaan) 2022 pada 31 Mac lalu.

“Ini adalah sangat malang kerana tiada sebab kerajaan menangguhkan bacaan kali kedua RUU ini pada 10.10.23 setelah YBMK (Dr Zaliha Mustafa) memberikan kenyataan pada minggu lalu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment