PRK Pelangai tidak ubah apa-apa kecuali lompat parti

KEPUTUSAN Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai yang berlangsung hari ini, 7 Oktober 2022 tidak mampu mengubah apa-apa kedudukan sama ada bagi Barisan Nasional (BN) yang mentadbir Pahang atau Perikatan Nasional (PN) sebagai pembangkang.

Jika BN menang, ia sekadar mempertahankan kerusi itu di samping boleh terus menyatakan kepada rakyat seluruh negara bahawa rakyat menyokoong Kerajaan Perpaduan manakala bagi PN, kemenangan akan menambah kerusi mengatasi BN.

PN memang mengharapkan kemenangan yang ke-18 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang selepas pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, memperoleh 17 kerusi yang disumbangkan oleh Pas (15) dan Bersatu (2).

Sebaliknya jika BN kecundang, ia sedikit sebanyak memberi kesan atau tamparan hebat kerana Pelangai adalah kubu kuat UMNO yang sebelum ini pernah diwakili mantan Menteri Besar Adnan Yaakob selama lapan penggal.

Pada masa yang sama kekalahan calon UMNO akan menjadikan BN hanya ada 16 kerusi dan akan terus bergantung kepada kesetiaan DAP dan PKR.

PN mengharapkan kemenangan PRK ini yang dikatakan boleh melorongkan kepada mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri, menjadikan negeri kelima ditadbir Pas selepas Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.

Ini susulan terdapat laporan mengatakan akan berlaku “lompat parti” melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN jika PN menang di Pelangai.

Malahan Muhyiddin Yassin dalam satu sesi dialog pernah berkata: “Kot-kot esok bangun pagi (jika PN menang) mana-mana yang berhormat masuk jemaah kita, Menteri Besar sudah ada, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bakal Menteri Besar Pahang,”

Harus diingat bahawa Pahang adalah antara negeri yang masih belum melaksanakan undang-undang antilompat parti bagi ADUN sejak ia berkuat kuasa di peringkat Persekutuan pada 5 Oktober 2022. Maka kedudukan belum terjamin.

Bagaimanapun berhubung lompat parti, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan sebagai fitnah dan menafikan terdapat segelintir ADUN BN akan lompat parti untuk bergabung dengan PN jika calon PN memenangi PRK Pelangai.

Manakala Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan sebaliknya apabila menerima maklumat dalaman beberapa ADUN PN yang sebenarnya mahu menyokong gabungan BN-Pakatan Harapan (BN-PH) di Pahang.

Masing-masing mengharapkan ADUN lompat untuk mengukuhkan kerajaan atau blok masing-masing. Hakikatnya, Pahang yang ditadbir BN dan mendapat ‘talian hayat’ PH (DAP, PKR) dalam keadaan berbahaya selagi undang-undang antilompat parti tidak dilaksanakan.

Mungkin selepas ini DUN Pahang akan memberi perhatian. Justeru PRK ini di samping mencari pengganti wakil rakyat, amat penting kepada kelangsungan BN. Di tangan 16,456 pengundi yang bakal menentukan sejauh mana kekuatan BN dan PN.

Di atas kertas, gabungan BN dan PH tidak menghadapi masalah sekiranya pengundi tegar mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terutama bukan Melayu tidak beralih arah menyokong calon dari UMNO.

Manakala PN pula mengharapkan pengundi BN-PH beralih arah terutama dalam kalangan akar umbi UMNO. Adakah anggota UMNO sudah boleh menerima kerjasama dengan DAP selepas berpuluh tahun diterapkan supaya menolak DAP?

PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru terdiri daripada Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong, Amizar Abu Adam (BN); Naib Yang Dipertua Pas Bentong, Kasim Samat (PN) dan Haslihelmy DM Zulhasli (Bebas).

PRK DUN Pelangai diadakan selepas kawasan itu diisytihar kosong susulan penyandangnya, Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor Ogos lalu.

Pada PRU15 Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi, calon PH, Ahmed Wafiuddin Shamsuri (2,031 undi) dan calon Pejuang Isa Ahmad (65 undi).

 

Related posts

Leave a Comment