SHAH ALAM 7 Okt. – Langkah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik tauliah mengajar agama Islam bagi aktivis politik di negeri ini adalah selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Pengerusi MAIS, Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata pihaknya tetap tegas menarik balik tauliah mengajar di negeri ini yang melibatkan aktivis politik.
Beliau merujuk kepada penarikan balik tauliah yang melibatkan Ustaz Dusuki Abdul Rani sebelum ini dan terbaharu melibatkan penceramah Ustaz Abdullah Khairi Haroon yang sepatutnya berakhir Disember ini.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, penarikan balik tauliah ini dibuat mengikut Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 dan pemegang tauliah yang terkesan diberi ruang untuk membuat rayuan kepada MAIS.
Justeru MAIS menyeru semua pihak tidak mempolitikkan isu penarikan balik tauliah dan menghormati titah Sultan Selangor yang tidak memperkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik.
“Ini kerana dikhuatiri ia boleh disalahgunakan untuk kepentingan mana-mana parti politik yang akhirnya akan membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam di Negeri Selangor serta mencemarkan agama Islam,” katanya.
Beliau juga menjelaskan, MAIS menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 5 Oktober yang memutuskan pembatalan penarikan balik tauliah mengajar agama Islam terhadap Ustaz Dusuki Abdul Rani.
“Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam ini berdasarkan alasan ketidakpatuhan prosedur semasa proses penarikan balik tauliah dibuat.
“Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam ini sama sekali tidak menyentuh dan tidak mempersoalkan penarikan balik tauliah atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak memperkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik,” katanya.
Bagaimanapun dalam hal ini, MAIS memutuskan tidak membuat rayuan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam atas alasan rayuan yang difailkan ini hanya bersifat akademik semata-mata kerana tempoh tauliah mengajar agama Islam Ustaz Dusuki sudahpun tamat pada 30 Jun lalu,” katanya.
Keputusan MAIS adalah berdasarkan titah Sultan Selangor serta berdasarkan maklumat mengenai status keaktifan Dusuki dalam parti politik termasuk tapisan keselamatan yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu, merujuk keputusan penarikan balik tauliah mengajar agama Islam bagi penceramah Ustaz Abdullah Khairi pula, keputusan Jawatankuasa Tauliah MAIS juga dibuat selaras titah Sultan Selangor berhubung larangan pemberian tauliah kepada mana-mana aktivis politik.
Nnn
