SEGAMBUT 15 Mei – DAP mempertahankan keputusan Kabinet peluang kepada calon lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk mengikuti program dalam institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, peluang itu bukan sahaja diberikan kepada pelajar UEC semata-mata, tetapi turut terbuka kepada calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz.
Justeru, beliau mempertikaikan tindakan sesetengah pihak yang membangkang peluang tersebut dan menyifatkan tindakan membangkang, itu menunjukkan mereka menafikan hak anak-anak belajar ke peringkat lebih tinggi.
“Saya rasa pelik, mengapa ada pihak yang membantah komitmen kerajaan ini. Mereka membantah orang untuk mendapat akses pendidikan. Walhal kita mahu menambah akses pendidikan supaya dapat mendidik anak-anak ini untuk dapat pendidikan yang lebih baik.
Sekiranya membangkang, ini menunjukkan mereka menafikan hak anak-anak kita belajar ke peringkat lebih tinggi.
Ini adalah komitmen kerajaan seperti mana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Januari lalu,” katanya dalam Majlis Peluncuran Stesen Segambut Utara, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, dilaporkan mendakwa tindakan membuka ruang untuk pelajar UEC melanjutkan pengajian di IPTA adalah satu taktik ‘silap mata’ dalam usaha kerajaan memperluas akses pendidikan kepada pelajar aliran berkenaan.
Katanya, pengumuman menggabungkan kategori lepasan tahfiz dan UEC itu dilihat sebagai satu cubaan untuk menghalalkan kemasukan pelajar UEC ke universiti awam secara halus.
Beliau turut mempersoalkan mengapa kerajaan perlu mengeluarkan kenyataan khusus mengenai lepasan tahfiz sedangkan golongan itu selama ini tidak pernah menghadapi masalah untuk menyambung pengajian ke IPTA mahupun institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi kenyataan semalam memaklumkan, calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta SMPC/UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.
Bagi calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz, antara program dikenal pasti ialah Diploma dan Sarjana Muda Dakwah, Diploma dan Sarjana Muda Al-Quran dan As-Sunnah, Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz serta Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah).
Bagi calon lepasan SMPC/UEC pula, antara program dikenal pasti ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.
Calon daripada aliran terbabit yang turut memiliki SPM penuh, mereka boleh memohon mana-mana program pengajian yang ditawarkan melalui sistem UPUOnline mengikut kiraan merit berdasarkan pakej mata pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
Mesyuarat Jemaah Menteri turut bersetuju bahawa calon daripada aliran berkenaan yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta diperakui KPM boleh dipertimbangkan untuk mengikuti program tertentu di IPTA.
Nnn
