Buka laluan bukan iktiraf UEC

PUTRAJAYA 15 Mei – Keputusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membuka laluan kemasukan kepada lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan bukan bagi mengiktiraf sistem pendidikan luar termasuk Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi,  Prof Dr Azlinda Azman, berkata KPT membuka laluan kepada pelajar lepasan berkenaan kepada ruang kursus yang ditetapkan.

“Tidak, sebenarnya terdapat perbezaan besar antara kelayakan UEC dan juga kelayakan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia). Jadi sekali lagi, ini bukan soal pengiktirafan. Tiada pengiktirafan terhadap silibus UEC.

“Yang penting kita memberi laluan terbabit. Dalam pemilihan pelajar itu nanti, universiti mengikut syarat dan kriteria masing-masing akan menilai (permohonan) pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas Laluan Kemasukan Pelajar Lepasan Di Luar Sistem Pendidikan Kebangsaan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), di sini hari ini.

Menurut Dr Azlinda, permohonan kemasukan ke IPTA itu akan mula dibuka pada 30 Jun ini, bagaimanapun dibuka di peringkat universiti masing-masing terlebih dahulu sebelum menerusi sistem UPUOnline bermula tahun depan.

“Sebenarnya (permohonan) UPUOnline (sebelum ini) semua sudah pun berjalan, persediaannya sudah pun berlaku sejak akhir tahun yang lalu.

“Jadi bagi mengikut ketetapan seperti yang ditetapkan oleh Jemaah Menteri, maka kita semua di peringkat universiti sudah beberapa kali mengadakan libat urus dan insya-Allah kita akan membuka permohonan secara terus kepada universiti yang menawarkan program-program terbabit bermula 30 Jun ini,” katanya.

Azlinda menegaskan, bagi syarat wajib, pelajar terbabit perlu mendapatkan sekurang-kurangnya kepujian dalam Bahasa Melayu dan lulus Sejarah.

“Semua permohonan kemasukan ke IPTA akan diproses berdasarkan meritokrasi, syarat kelayakan akademik serta tertakluk kepada penilaian dan keputusan Senat Universiti,” katanya.

Azlinda berkata, setiap calon yang memohon akan melalui proses temu duga yang dibuat di peringkat universiti masing-masing seperti dilalui calon arus perdana lain bagi program ditetapkan.

“Sebenarnya program-program ini adalah program kompetitif kerana ramai juga calon-calon yang memohon. Jadi di situlah kita akan lihat dari segi kesesuaiannya dan bagaimana kita boleh memberi ruang dan peluang laluan kepada pelajar-pelajar yang mengambil kursus ditawarkan,” katanya.

Menurut Azlinda, ketika ini terdapat tiga universiti yang menawarkan empat program terbabit kepada lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM); Universiti Malaya (UM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Bagi aliran tahfiz, ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan beberapa lagi.

“Berdasarkan kepada unjuran yang ditetapkan oleh setiap universiti mengikut program. Contohnya kalau unjuran dia 50 pelajar, maka nanti prosesnya akan dipilih mengikut kepada meritokrasi juga.

“Kalau pelajar itu mencapai standard yang patut dan lulus temu duga contohnya sebab ada kriteria dan syarat-syaratnya, maka dia perlu bersaing dengan pelajar-pelajar yang lain supaya adil kepada semua,” katanya.

.Ditanya adakah calon lepasan berkenaan turut menerima manfaat subsidi kerajaan, beliau berkata secara amnya mereka turut mendapat manfaat berkenaan.

KPT menerusi kenyataan semalam memaklumkan, calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta SMPC/UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.

Bagi calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz, antara program dikenal pasti ialah Diploma dan Sarjana Muda Dakwah, Diploma dan Sarjana Muda Al-Quran dan As-Sunnah, Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz serta Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah).

Bagi calon lepasan SMPC/UEC pula, antara program dikenal pasti ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment