ISTANBUL – Pejuang Palestin Hamas menggesa gerakan Fatah pimpinan Presiden Mahmoud Abbas mengadakan ‘pertemuan langsung’ sebaik sahaja kongres agung kelapan Fatah berakhir bagi mencapai persetujuan strategi nasional.
Anggota kanan Hamas, Husam Badran, berkata kongres Fatah yang bermula Khamis di bandar Ramallah, Tebing Barat dan dijadual berlangsung tiga hari adalah peluang untuk mencetuskan perubahan dalam hubungan nasional dalaman Palestin.
Beliau berkata acara itu juga boleh meningkatkan kesiapsiagaan dan persediaan untuk berdepan rancangan jenayah Zionis, yang berusaha menghapuskan perjuangan Palestin dengan mengeksploitasi keadaan antarabangsa dan serantau.
Badran menggesa Fatah menyertai ‘pertemuan langsung’ selepas kongres itu bagi mencapai persetujuan strategi nasional Palestin berhubung semua isu yang menyentuh kepentingan rakyat pada fasa sensitif ini.
“Sudah tiba masanya untuk mengatasi perpecahan dan kesan masa lalu, serta melihat keadaan semasa dan masa depan berasaskan perkongsian nasional dan tanggungjawab bersama,” katanya.
Sejak 2007, Hamas menguasai Semenanjung Gaza manakala Tebing Barat ditadbir kerajaan yang dibentuk oleh Fatah di bawah Abbas.
Sejak beberapa tahun lalu, beberapa pertemuan perdamaian diadakan antara dua puak Palestin itu bagi menamatkan perpecahan dan memulihkan perpaduan nasional, yang terbaharu di China pada 2024, namun tidak menghasilkan langkah praktikal yang ketara.
Sementara itu, anggota Persidangan Agung Kelapan Gerakan Fatah pada Khamis sebulat suara melantik semula Abbas sebagai pemimpin gerakan itu.
Perwakilan sebulat suara memilih semula Abbas sebagai ketua dan komander umum Fatah, sekali gus menyatakan keyakinan terhadap kepimpinannya pada satu tahap kritikal dalam sejarah Palestin.
Abbas, Presiden Negara Palestin yang dipilih dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), turut dianggap sebagai antara anggota pengasas Fatah bersama tokoh awal gerakan itu.
Abbas berkata persidangan itu berlangsung pada detik kritikal dalam sejarah Palestin, susulan kesan perang di Gaza dan pelanggaran berterusan undang-undang antarabangsa di Tebing Barat termasuk Baitulmuqaddis.
