Khairy setuju hapus pencen ganti KWSP

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menyifatkan zaman pencen sudah berlalu dan setuju dengan cadangan membatalkan pencen Ahli Parlimen dan ditukar kepada skim persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pada masa yang sama, bekas Menteri Kesihatan itu juga mencadangkan pencen penjawat awam turut dihapuskan bagi membantu mengimbangi fiskal negara.

“Saya rasa pencen ini, zamannya sudah berlalu. Masa saya dalam Jemaah Menteri, saya kata ada tiga perkara yang boleh kita buat untuk menjaga fiskal negara.

“Pertama, kenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Kedua, rasionalisasi subsidi. Yang kedua ini, kerajaan kata nak buat walaupun kita tidak tahu apa mekanismenya.

GST masih lagi tunggu dan lihat. Ketiga, adalah untuk hentikan pencen,” katanya dalam podcast Keluar Sekejap bersama, Shahril Hamdan semalam.

Bagaimanapun Khairy menjelaskan cadangan itu melibatkan penjawat awam yang baharu , selepas tarikh ditetapkan manakala pencen penjawat awam yang ada dalam perkhidmatan, boleh diteruskan.

“Tapi ini untuk penjawat awam yang ada dalam perkhidmatan, skim pencen diteruskan. Tetapi semua penjawat awam yang baru, selepas tarikh ditetapkan, sebagai contoh 1 Januari 2024, semuanya dimasukkan ke dalam KWSP,” katanya.

Tegasnya, pemansuhan pencen harus dilakukan secepat mungkin kerana selagi iditangguhkan, ia memberi kesan kepada kewangan negara di mana dalam masa 10 tahun akan datang kerajaan mungkin menanggung sehingga RM50 bilion untuk pencen.

Sementara itu, mengulas tindakan Howard Lee yang menggunakan ayat al-Quran menerusi video yang tular baru-baru ini, Khairy dan Shahril Hamdan tidak bersetuju dengan tindakan Ahli Parlimen Ipoh Timur itu.

Kedua-dua ahli politik itu beranggapan kurang sesuai wakil rakyat DAP itu menggunakan ayat al-Quran apatah lagi dengan persepsi DAP tidak mesra kepada Islam.

Khairy berkata, walaupun ayat itu lazim digunakan ahli politik namun tindakan Howard adalah langkah kurang bijak.

“Kurang sesuai. Sebab antara serangan Pakatan Harapan (PH) kepada Pas dan Perikatan Nasional (PN) adalah kerana tunggang agama… menggunakan agama untuk hujah politik, untuk kepentingan politik.

Saya tak nampak apa beza daripada apa yang Howard buat. Ada juga isu lain yang orang lihat, apabila melihat orang Islam cuba nak mengajar orang Islam, bagaimana untuk tafsir ayat suci mereka sendiri.

“Secara peribadi, saya tak sokong,” kata Shahril Hamdan.

Related posts

Leave a Comment