PN rujuk PM  ke Jawatankuasa Hak Kebebasan Parlimen.

KUALA LUMPUR 24 Julai – Perikatan Nasional (PN) hari ini mengemukakan usul merujuk Ahli Parlimen Tambun yang juga Perdana Menteri, Anwar Ibrahim kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan berkata, ia susulan kenyataan Anwar berhubung tindakan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai kes pulau Batu Puteh.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, kenyataan Anwar bahawa tiada tindakan undang-undang diambil ke atas Dr. Mahathir kerana faktor beliau merupakan bekas Perdana Menteri serta sudah berusia 100 tahun jelas mengelirukan Dewan Rakyat.

Takiyuddin mengingatkan bahawa kuasa menentukan pendakwaan ke atas seseorang adalah terletak di tangan Jabatan Peguam Negara.

Katanya, Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Peguam Negara mesti mempunyai kuasa untuk – mengikut budi bicaranya – memulakan, menjalankan, atau menghentikan prosiding undang-undang bagi sebarang kesalahan.

“Kuasa siapa untuk menuduh dan mendakwa seseorang? Adakah kuasa Perdana Menteri? Adakah ini satu pengesahan dari Perdana Menteri bahawa beliau campur tangan dalam urusan perundangan?” soalnya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Selasa lalu, Anwar ketika menjawab soalan Takiyuddin di Dewan Rakyat berkata, Kabinet tetap berpendirian bahawa Dr. Mahathir bersalah kerana keputusan beliau sebagai Perdana Menteri pada 2018 yang melepaskan Pulau Batu Puteh dengan begitu mudah kepada Singapura.

Menurut beliau, keputusan Kabinet untuk tidak mengambil tindakan undang-undang juga mengambil kira status Dr Mahathir sebagai bekas Perdana Menteri yang umurnya sudah mencecah 100 tahun.

Pada masa sama Anwar menggelar Takiyuddin sebagai tokoh pembangkang yang akan menuduh kerajaan tidak adil sama ada menuduh atau tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas Dr Mahathir.

Dr Mahathir dalam reaksi balasnya menolak ‘imuniti’ itu dan mahu keputusan bersalah atau tidak ditentukan mahkamah.

Takiyuddin berkata beliau sudah mengemukakan usul kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengenai permintaannya itu.

Katanya, tidak ada alasan munasabah untuk Speaker Dewan Rakyat menolak usul yang dibawa oleh pembangkang tersebut memandangkan adalah jelas kenyataan Perdana Menteri berkenaan menunjukkan berlakunya salah guna kuasa.

Dalam ucapannya itu juga Anwar secara khusus menggelar Takiyuddin sebagai tokoh pembangkang yang akan menuduh kerajaan tidak adil sama ada menuduh atau tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas Mahathir.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment