SEPANG 27 Sept. – Bekas Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Kesihatan UCSI, berkuat kuasa 1 Oktober ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UCSI Prof Dr Siti Hamisah Tapsir.
Beliau berkata Dr Noor Hisham akan bertanggungjawab menetapkan hala tuju strategik Hospital UCSI, di Port Dickson, Negeri Sembilan dan anak syarikat lain di bawah Kumpulan Kesihatan UCSI.
Dalam kenyataannya, beliau berkata, Dr Noor Hisham akan berkhidmat sebagai Pakar Perunding Bedah (pelawat) dalam bidang payudara, endokrin dan pembedahan am.
Dr Noor Hisham juga dilantik sebagai Profesor Adjung di Universiti UCSI dan akan menyumbang kepada program latihan klinikal dan penyelidikan perubatan, berkuat kuasa pada tarikh yang sama.
Dr Siti Hamisah yang juga Naib Canselor Universiti UCSI berkata kepakaran dan pengalaman luas dalam dasar penjagaan awam yang dimiliki Dr Noor Hisham akan memberi banyak manfaat kepada universiti itu dan Kumpulan Kesihatan UCSI.
“Beliau (Dr Noor Hisham) merupakan pejuang barisan hadapan dalam memerangi wabak pandemik (Covid-19) yang lepas, beliau memimpin melalui teladan dan rekod prestasinya dalam perkhidmatan awam tiada tandingannya,” katanya.
Beliau yakin Dr Noor Hisham yang 35 tahun berada dalam perkhidmatan awam akan membawa UCSI ke tahap yang lebih tinggi.
Dr Noor Hisham yang bersara sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada April lepas menerima pelbagai anugerah atas sumbangannya dalam penjagaan kesihatan awam dan kepemimpinannya semasa pandemik Covid-19.
Beliau juga diiktiraf oleh China Global TV Network sebagai seorang daripada tiga doktor terbaik dunia yang mengetuai usaha memerangi Covid-19 bersama Pakar Penyakit Amerika Syarikat Dr Anthony Fauci dan bekas Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand Ashley Bloomfield.