JASIN 27 Sept. – Kalau tidak tahu apa isu sebenar dan keperitan rakyat di bawah, lebih baik diam daripada bercakap. Nampak sangat kurang cerdik,” itu reaksi Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.
Beliau tidak peduli sekiranya ada pihak yang tidak bersetuju dengan tindakannya turun padang bagi menyelesaikan isu kekurangan beras putih tempatan ketika ini.
“Tanggungjawab saya menjaga kepentingan rakyat, bukan menjaga kepentingan tauke besar. I don’t care! (Saya tidak peduli),” katanya yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka dalam satu kenyataan.
Dr Muhamad Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin, mengulas kenyataan bekas Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker yang menyelar tindakannya membuat ugutan membatalkan lesen pengilang sekiranya tidak mahu menjual beras tempatan dengan harga ditetapkan kerajaan.
Menerusi perkongsiannya di Facebook, Lian Ker menyifatkan tindakan dilakukan Dr Muhamad Akmal itu sebagai sesuatu yang jelek dan tidak wajar.
“Ini benar-benar jelek dan tidak wajar, ini bukan Little Napoleon tetapi mengingatkan saya kepada pegawai yang kejam pada zaman Maharaja feudal,” katanya.
Sebelum ini, tular video berdurasi tiga minit 24 saat yang menunjukkan Ketua Pemuda UMNO itu menerjah operasi sebuah kilang beras dan memberi amaran kepada pihak pengilang yang gagal mematuhi arahan dikeluarkan oleh kerajaan.
Akmal dilaporkan berkata, sekiranya pengilang itu masih enggan mengeluarkan beras tempatan dengan paket serta harga yang ditetapkan kerajaan, pihaknya tidak teragak-agak untuk menarik lesen kilang terbabit.
Katanya, margin keuntungan yang kecil tidak boleh dijadikan alasan oleh pengilang untuk tidak mengeluarkan beras tempatan.
“Kalau you (awak) tak mahu buat you cakap, saya tarik you punya lesen. Kalau you cakap you rugi ini kerajaan punya arahan tahu RM26 (sepaket).
“Kalau you rugi, you cakap dengan saya (saya) sekarang, saya tarik you punya lesen kasi (beri) orang lain hantar (beras).
“Sekarang ini you punya lesen, you kata rugi tak mahu jual (beras tempatan), saya boleh panggil kerajaan tarik you punya lesen semua,” katanya dalam video yang dimuatnaik di Facebooknya.
