Kes di Indonesia masih tinggi

THAILAND melaporkan 15 kes baharu Covid-19 termasuk sembilan pelajar dan seorang pekerja kilang rakyatnya yang kembali dari Arab Saudi menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini ialah 3,345 kes dengan kematian kekal 58.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata, lima lagi pesakit baharu adalah empat rakyatnya yang pulang dari Mesir dan seorang lelaki Thailand yang kembali dari Jepun.

Setakat ini, sejumlah 408 rakyat Thailand daripada sejumlah 72,723 yang kembali dari luar negara dan menjalani kuarantin diuji positif Covid-19.

Sementara itu, Thailand akan membuka pintunya kepada lebih ramai warga asing termasuk ahli perniagaan dalam sektor buah-buahan dalam usaha membantu ekonomi negara itu yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Ahli-ahli perniagaan berkenaan yang akan membeli hasil peladang tempatan dijangka menyumbang kira-kira satu bilion baht. Kumpulan ahli perniagaan itu akan menjalani kuarantin wajib 14 hari .

INDONESIA mencatatkan 2,473 kes positif baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif virus itu meningkat kepada 121,226 kes.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, sebanyak 80,200 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 72 lagi kematian dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kematian di republik itu  meningkat kepada 5,593 orang.

Jakarta mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi iaitu 24,601 kes, diikuti Jawa Timur (24,493) yang turut mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,834 orang, diikuti Jakarta (913), Jawa Tengah (709) dan Sulawesi Selatan (334)

SINGAPURA mencatat 242 kes jangkitan baharu Covid-19 setakat tengah hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di republik itu 54,797.

Menurut data ringkas yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Singapura (MOH), majoriti kes membabitkan pemegang permit kerja di asrama pekerja.

Terdapat satu kes dalam komuniti yang membabitkan warganegara Singapura dan enam kes import yang diletakkan di bawah Notis Duduk Di Rumah sejurus ketibaan di Singapura.

Data lewat Khamis menyaksikan Singapura mengklasifikasikan sejumlah 733 sebagai kes import, 2,189 kes dalam komuniti dan 51,633 kes membabitkan penghuni asrama.

Setakat tengah hari semalam, 48,031 pesakit atau kira-kira 88 peratus telah pulih sepenuhnya manakala 112 kes  masih dirawat di hospital.

Sehingga kini, sejumlah 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi susulan jangkitan Covid-19 di republik itu.

FILIPINA setakat pukul 4 petang hari ini, 7 Ogos 2020, melaporkan 3,379 kes Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 122,754.

Jabatan Kesihatan (DOH) juga melaporkan 24 kematian menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 meningkat kepada 2,168. Kes aktif pula 53,734

Sebanyak 96 lagi pesakit sembuh yang membawa jumlah keseluruhan kes sembuh kepada 66,852.

Related posts

Leave a Comment