Taklimat cantik, realitinya rakyat susah

 

PASIR GUDANG: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, menegaskan pendedahan masalah rakyat membabitkan ketiadaan bekalan beras putih tempatan (BPT), minyak masak, gula pasir dan telur ayam adalah benar.

Justeru beliau menafikan sengaja mencetuskan kebimbangan melalui kenyataannya semalam yang mendakwa kawasannya kini terputus bekalan barangan keperluan asas, termasuk BPT.

Hassan yang juga Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian bawah Parlimen berkata, beliau bertanggungjawab atas kenyataan yang dikeluarkannya, semalam.

“Kenyataan yang saya buat itu adalah berasas, cukup yakin dan bukan secara semberono. Selama dua hari hingga semalam, saya sendiri turun padang dari pagi sampai malam untuk memantau dan bertemu penduduk Pasir Gudang.

Ramai mengadu tiada BPT, minyak masak, gula pasir dan telur ayam di sini. Antaranya, saya bertemu penduduk di Taman Mawar dan komuniti peniaga makanan di Taman Scientex yang memerlukan BPT untuk berniaga.

“Mereka memberitahu sudah pergi ke banyak pasar raya besar di sini tetapi tiada BPT, dan yang ada hanya beras import dijual pada harga mahal,” katanya selepas merasmikan Hari Sukan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4, di sini, hari ini.

Hassan berkata, pihaknya mengambil inisiatif turun padang kerana jawatankuasa itu pada sidang media di Parlimen, Selasa lalu, telah memberi jaminan bekalan BPT mencukupi di semua tempat.

Namun apabila pihaknya meninjau bekalan itu di daerah ini, kelmarin dan semalam, beliau mendakwa barangan keperluan asas terbabit didapati tidak ada.

“Orang ramai membuat aduan berkenaan masalah itu dan saya meminta ia diselesaikan segera. Saya hampa kerana ketika taklimat (jawatankuasa itu) cukup cantik tetapi realitinya rakyat susah dan mereka mengadu kepada saya. Masalah ini tidak pernah berlaku di Pasir Gudang. Saya minta kerajaan bertindak dan pantau,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo, berkata secara keseluruhannya, bekalan barang keperluan masih ada dan mudah diperoleh.

Katanya, pihaknya telah mengambil inisiatif dan tindakan proaktif dengan membuat pemantauan serta pemeriksaan secara berterusan ke atas kedudukan bekalan barang keperluan asas di seluruh Johor.

Menurut beliau, 200 anggota penguat kuasa melakukan pemeriksaan serta pemantauan yang tertumpu kepada semua peringkat rantaian pengedaran membabitkan pengilang, pemborong serta peruncit di seluruh Johor.

“Berikutan isu berkaitan gangguan kekurangan bekalan di sekitar Pasir Gudang, hasil pemantauan dan pemeriksaan di beberapa premis pasar raya mendapati secara keseluruhannya, bekalan barang keperluan masih ada dan mudah diperoleh,” katanya.

Semalam melalui Facebooknya, Hassan ‘menulis’ rungutan yang ditujukan kepada Menteri, Timbalan Menteri dan Ketua Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Beliau berkata tidak pernah rakyat mengalami putus bekalan makanan utama seperti sekarang ini.

“Saya Hassan Abdul Karim ahli parlimen Pasir Gudang kini di Pasir Gudang sekarang melihat keadaan rakyat. Rakyat sedang marah. Beras tempatan tak ada. Minyak masa tak ada? Gula Pasir tak ada Telor ayam tak ada.

“Mohon KPDN tolong rakyat kami di Pasir Gudang Sama ada buat segera program jualan Rahmah. Atau hantar bekalan makanan yang cukup ke Pasir Gudang sekarang.Rakyat amat mengharap pertolongan Kerajaan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment