SEPANG 24 Sept. – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak seharusnya memberikan kuliah tentang apa itu “pelaporan yang tepat” kepada pengamal media di negara ini.
Sekumpulan wartawan dan pengamal media dalam kenyataan hari ini menegaskan rata-rata pengamal media memahami tanggungjawab mereka serta dipandu oleh profesionalisme dan etika kewartawanan.
Justeru, kumpulan berkenaan memandang serius tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sejak kebelakangan ini yang memberi amaran, memanggil dan menyekat beberapa portal berita.
Kenyataan itu merujuk kepada arahan SKMM kepada portal berita MalaysiaNow yang diminta menurunkan kandungan berita mengenai kekecohan yang berlaku di Dewan Rakyat pada 19 September lalu.
MalaysiaNow dalam laporannya pada hari berkenaan melaporkan situasi yang berlaku di dalam Dewan Rakyat pada hari berkenaan di bawah tajuk Blok PN keluar, ‘Tambun peliwat’ bergema di Dewan Rakyat selepas PM serang Radzi.
Susulan itu, SKMM menuntut MalaysiaNow meminda atau menurunkan laporannya mengenai kekecohan di Dewan Rakyat, memberi tempoh dua jam untuk berbuat demikian atau berdepan “tindakan penguatkuasaan lanjut”.
Menurut SKMM, ia “tidak mencerminkan konteks sebenar ucapan yang disebutkan” sambil menambah bahawa tajuknya “tidak sopan, penghinaan, atau jelik”.
Dalam hubungan ini, kumpulan wartawan berkenaan bertanya “ Bilakah masanya membuat laporan peristiwa yang berlaku menjadi satu kesalahan di negara ini?”.
Rekasi SKMM terhadap portal itu disifatkan hanya memperlihatkan kedangkalan badan pengawas itu dalam memahami tugas dan peranan media dan berselindung di sebalik Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk mewajarkan kewujudannya.
“Kami berpendapat SKMM sengaja mencari musuh yang salah bagi mewajarkan tindakannya. Pengamal media rata-rata memahami tanggungjawab mereka serta dipandu oleh profesionalisme dan etika kewartawanan,” kata kenyataan itu.
Sambil menyatakan rasa kesal dan kecewa dengan apa yang berlaku pada hari berkenaan, kumpulan wartawan itu juga mengutuk perbuatan mana-mana Ahli Parlimen yang bertindak di luar adab dan tata susila selain melanggar peraturan mesyuarat yang menyebabkan berlakunya kekecohan pada hari itu.
“Namun demikian apa yang berlaku di Dewan Rakyat itu telah disiarkan secara langsung untuk tatapan rakyat negara ini dan cebisan daripada peristiwa kekecohan itu boleh didapati dalam semua platform media sosial.
Maka itu adalah tidak adil untuk menyalahkan mana-mana portal berita yang melaporkannya.
Alasan SKMM bahawa beberapa pelaporan telah “dijadikan senjata untuk memanipulasi kandungan serta mencetuskan rasa tidak hormat dan naratif yang mengelirukan” sebenarnya menimbulkan lebih banyak persoalan,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, masalah yang dihadapi oleh SKMM dalam menangani media sosial tidak harus dijadikan alasan untuk membendung hak pengamal media menjalankan tugas mereka.
Kumpulan wartawan itu juga memahami bahawa tidak ada kebebasan media yang mutlak di mana-mana di dunia tetapi pengamal media harus bekerja dalam suasana yang tidak sempurna itu untuk menjadi mata dan telinga kepada rakyat.
“SKMM harus faham bahawa dalam sistem demokrasi media bebas dan bertanggungjawab adalah prasyarat yang utama,” kata kenyataan itu.
Kumpulan wartawan itu juga mengingatkan SKMM bahawa Perdana Menteri telah berkali-kali menekankan pentingnya media bebas dan bertanggungjawab serta beliau juga berjanji akan mengambil sikap terbuka terhadap kritikan atau teguran.
Bagaimanapun langjah SKMM kebelakangan ini sama sekali bertentangan dengan semangat Perdana Menteri yang mahu melahirkan suasana media yang kondusif untuk para pengamalnya bekerja tanpa ragu dan takut.
Sementara itu, kumpulan wartawan dan pengamal media yang menandatangani kenyataan itu adalah Johan Jaaffar, A Kadir Jasin! Azman Ujang, Dr Hussamuddin Yaacob, Dr Chamil Wariya, Zakaria A Wahab, Zulkefli Hamzah! Zaini Hassan.
Mior Kamarulbaid Mior Shahid, Ashwad Ismail! Ku Seman Ku Hussein! Dr G Manimaran! Zainal Rashid Ahmad (ZRA)! Johardy Ibrahim! Esther Ng Sek Yee! Kuik Cheng Kang! Zamri Rambli, K. Padmanabhan S. Kanayah, Rashid Yusof! The Centre for Independent Journalism, Malaysia (CIJ) dan Gerakan Media Merdeka (GERAMM).
