Lupa soal kebersihan ketika beribadah di kota suci

JUMAAT lalu, khutbah di Masjid Al Mustaqim, Bandar Seri Putra (BSP) dekat Bangi memperkatakan tentang kebersihan. Solat Jumaat kedua di masjid itu selepas kali pertama digunakan pada Hari Raya Aidiladha. Syukurlah kerana masjid yang mendapat bantuan kerajaan Pusat, pemaju BSP iaitu UMLand serta para penderma pelbagai peringkat itu akhirnya berjaya disiapkan. Jawatankuasa masjid masih mengharapkan bantuan dan sumbangan bagi meningkatkan kemudahan sedia ada termasuk kediaman imam. Kembali kepada khutbah tadi, isu kebersihan dibangkitkan kerana kes denggi yang tertinggi melanda negeri Selangor termasuklah di kawasan BSP. Pada hari itu, khatib menyeru supaya semua peringkat masyarakat menjaga kebersihan sama ada di rumah atau premis perniagaan. Selak tidak mahu menyelak lebih lanjut soal kebersihan itu tetapi tertarik dengan isu ini setelah berhadapan dengan pengalaman semasa menunaikan haji baru-baru ini.

Walaupun pergerakan saya serta 65 orang rakan lain agak terbatas disebabkan di bawah tajaan kerajaan Arab Saudi tetapi dapat merasai suasana ‘kebersihan’ yang ada di kota suci Mekah. Kota suci itu dipenuhi sampah sarap ketika umat Islam melakukan ibadah mereka. Kenapa harus terjadi begini? Bukankah menjaga kebersihan amat dituntut oleh Islam? Bukanlah bermaksud mahu menceritakan keadaan tidak baik di kota suci tetapi ingin melihat sejauh mana kita yang bergelar umat Islam menghargai kebersihan ketika sedang melakukan rukun haji. Tidak dinafikan dengan kehadiran jutaan umat manusia pada musim haji, tentunya sampah sarap akan menimbun. Difahamkan, pada musim haji tahun lalu, sebanyak 53,000 tan sampah dikumpul. Tidak usah kita lihat di kota Mekah atau Madinah, cukup di Dataran Merdeka. Contohnya ketika sambutan tahun baharu 2012, sebanyak 20 tan sampah dikutip oleh Alam Flora di empat kawasan tumpuan warga kota iaitu Dataran Merdeka, Bukit Bintang, Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan juga Bangsar. Itu di Kuala Lumpur. Bagaimana pula di Mina yang menjadi lokasi melontar tiga jamrah? Dalam perjalanan untuk melontar, banyak sampah berselerakan. Lebih mendukacitakan, di kawasan melontar, kaki tersepak botol air mineral, pakaian, kasut, bekas makanan serta batu yang berselerakan. Rasanya suasana itu adalah perkara biasa setiap musim haji.

Saya tidak berkesempatan ke khemah jemaah Malaysia kerana kedudukannya yang agak jauh. Tidak tahu apa suasana di sana tetapi saya percaya rakyat Malaysia menghargai kebersihan. Kesempatan berada di khemah negara lain yang berhampiran, sampah sarap kelihatan di mana-mana. Begitu juga sepanjang jalan dari Aziziyah menuju Masjidilharam di Mekah, bekas minuman dan makanan berselerakan. Mungkin kekurangan tong sampah atau pekerja pembersihan tertumpu di dalam kawasan Masjidilharam. Saya percaya keadaan yang sama turut berlaku di Padang Arafah kerana sekali lagi, saya dan rombongan tidak berkesempatan bersama-sama jemaah lain dari seluruh dunia kerana kumpulan kami sekitar 1,400 orang ditempatkan di khemah khas tidak jauh dari Masjid Namira. Di Muzdalifah, semasa singgah solat dan mengutip batu ketika dalam perjalanan ke Mina, suasana sama kelihatan. Disebabkan ramai yang singgah untuk tujuan sama, sampah yang merupakan sisa makanan dan botol minuman kelihatan bersepah. Ada juga jemaah yang berdisiplin, membawa peralatan memasak nasi Arab berserta lauk kambing untuk santapan sambil menjaga kebersihan.

Ada yang berpendapat, keadaan ini disebabkan kehadiran jemaah secara haram atau mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal. Mereka akan singgah dan tidur di tepi jalan, di bawah jejambat dan sepanjang jalan menuju pusat ibadah. Mungkin setiap bakal jemaah perlu dinasihatkan untuk menjaga kebersihan, tidak membuang sampah di merata tempat sehingga menyulitkan pihak berkuasa kerajaan Arab Saudi. Mungkin kita boleh mencontohi sikap sesetengah orang yang ‘menyimpan sampah’ walaupun sekadar pembalut gula-gula di dalam poket dan membuangnya apabila terjumpa tong sampah.

Satu lagi pengalaman yang menunjukkan sikap dalam kalangan orang Islam yang tidak menghargai kebersihan ialah di Mekah. Selepas solat di Masjidilharam, saya dan beberapa rakan menikmati makan tengah hari dengan membeli nasi Arab. di gerai yang terletak di menara Al Safwa. Sudah menjadi kebiasaan, mereka yang membeli makanan akan mencari tempat untuk menikmati makanan itu. Di dalam bangunan, ada disediakan beberapa meja dan kerusi yang terhad. Di satu sudut, tempat (kaunter) pengawal keselamatan yang menjaga pintu masuk bangunan itu. kelihatan seorang lelaki sedang menjamah nasi berlauk ayam. Kami menumpang di situ. Memang berselera lelaki itu makan sambil tulang ayam dibuang di kaunter pengawal keselamatan yang tidak berpenghuni itu. Diratah ayamnya sehingga licin. Akhirnya selepas selesai, dia membiarkan sahaja bekas makanan dan tulang ayam berselerakan di meja berkenaan. Begitulah sikap segelintir umat Islam yang tidak sepatutnya dilakukan di kota suci itu. Akhirnya kami yang membersihkan bekas dan sisa makanan yang ditinggalkan. Tidak tergamak membiarkan kaunter itu dikotori sisa makanan. Walaupun ada pekerja yang ditugaskan untuk membersihkan kawasan berkenaan tetapi adalah lebih mudah kerja dilakukan jika sisa berkenaan dimasukkan ke dalam plastik dan dibuang ke dalam tong sampah atau sekurang-kurangnya dibiarkan di situ di dalam plastik untuk dikutip oleh pekerja pembersihan. Bayangkan kota Mekah tanpa pekerja pembersihan.

Ingatlah kebersihan bukan sekadar penyucian diri daripada hadas kecil dan hadas besar dengan berwuduk ketika mahu bersolat. Kebersihan juga meliputi penyediaan makanan yang tidak tercemar dengan kekotoran termasuk makanan halal. Begitu juga kebersihan di kawasan rumah bagi mengelakkan pembiakan nyamuk atau menjadi tempat tumpuan tikus, lipas dan lalat. Udara sekeliling juga perlu bersih termasuk daripada asap rokok.

Tandas juga perlu dijaga. Di khemah kami di Arafah dan Mina, tandas boleh dianggap baik dan bersih. Apabila tiba hari bercukur, tidak terurus juga. Menyentuh isu tandas, di negara kita juga ada masjid atau surau yang gagal menjaga kebersihan tandas. Sedangkan masjid adalah tempat berkumpulnya orang yang beriman dan kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Melihat sepintas lalu suasana di beberapa kawasan tumpuan ibadat di Mekah, tahap kebersihan boleh ditingkatkan jika setiap umat Islam mempunyai disiplin untuk menjaga kebersihan. Sikap umat Islam tentang kebersihan perlu berubah. Mereka perlu bersih di dalam segenap aspek kehidupan.

UMA201014010C_3#

Related posts

Leave a Comment