SEPANG 24 Sept. – Bekas Menteri Kanan Pendidikan, Mohd Radzi Md Jidin mahu penyebar fitnah yang mendakwa beliau terlibat dengan rasuah dalam satu projek rundingan terus bernilai RM80 juta untuk tampil memohon maaf.
Menerusi rakaman video berdurasi tiga minit bersama isterinya di Facebook, beliau menegaskan tuduhan atau fitnah itu termasuk melibatkan isterinya yang dikatakan kerabat diraja adalah sangat besar dan cukup jahat.
“Ini satu fitnah yang besar dan kepada penyebar, ya anda mungkin gembira kerana ia sudah tular tetapi itu gembira di dunia tetapi menjawablah di akhirat kelak. Ini satu perbuatan yang cukup jahat,” katanya.
Radzi menjelaskan demikian selepas didakwa meluluskan projek rundingan terus percetakan buku teks J-Qaf untuk prasekolah kepada syarikat yang isterinya proksi syarikat serta dakwaan kononnya isterinya kerabat diraja.
Ahli Parlimen Putrajaya itu menjelaskan, isterinya, Datin Balkis Zakaria bukan daripada keturunan kerabat diraja ataupun Tengku dan tidak pernah terlibat dalam sebarang urusan kementerian.
“Nama isteri saya, Balkis binti Datuk Syeikh Haji Zakaria bin Haji Ahmad Wan Besar. Kalau sahabat-sahabat di Kedah, tentu kenal salah seorang ulama besar yang banyak menerbitkan buku dan banyak bersiar di radio ketika itu. Jadi, inilah isteri saya.
“Isteri saya ini kalau nak tahu, dia tidak pernah terlibat dengan urusan kementerian. Sebagai contoh, sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila ditanya mengenai tarikh sekolah akan dibuka bila dan saya jawab, tunggu pengumuman di TV.
“Ini adalah contoh bahawa kami tegas dan tidak ada penglibatan isteri saya langsung,” tegasnya.
Justeru, Radzi menasihatkan penuduh dan penyebar untuk bertaubat kerana tuduhan tersebut memberikan kesan yang amat besar.
Menurutnya, fitnah lebih bahaya daripada membunuh dan tindakan tersebut seperti mahu membunuh karakternya.
“Saya doakan yang terbaik kepada sahabat semua dan mohon sahabat semua doa yang terbaik juga untuk saya serta keluarga dalam keadaan kita dizalimi sedemikian rupa,” katanya.
