10 penyelidik kaji sumber baharu kewujudan Hang Tuah

AYER KEROH 24 Sept. – Bekas Naib Canselor Universiti Melaka (UNIMEL), Dr Mohd Taib Dora akan mengetuai 10 penyelidik serta pakar sejarah untuk melengkapkan kajian penyelidikan mengukuh kewujudan Hang Tuah menerusi sumber baharu.

Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh, berkata Dr Mohd Taib dibantu Prof Madya Dr Rohaidah Kamaruddin dari Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Dr Mardiana Nordin dari Universiti Malaya (UM).

Beliau berkata, sebelum ini beberapa ahli pasukan penyelidik itu berjaya mengenal pasti banyak sumber baharu yang masih belum diterokai serta mengesan banyak khazanah serta artifak yang masih tersimpan di beberapa negara seperti Jepun, India, Portugal, Turkiye, China, Brunei, Indonesia dan Thailand.

“Justeru, kerajaan negeri yakin jika kita berjaya menemukan khazanah baharu ini dan membawa pulang ke Melaka, ia akan memperkayakan lagi khazanah serta warisan sejarah negeri yang selama ini `dibengkokkan’ oleh penjajah Barat.

Ia sekali gus memperkukuhkan lagi ikon pahlawan terbilang Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka iaitu Hang Tuah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ab Rauf berkata, pihaknya yakin pasukan pengkaji Hang Tuah dan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka itu mampu membawa pulang beberapa khazanah dan artifak asli yang berharga atau sekurang-kurangnya salinan asal membabitkan manuskrip lama yang masih tersimpan di negara terbabit.

Katanya, sekiranya berjaya membawa pulang kelak, ia akan dijadikan tontonan umum, khususnya peminat sejarah Melaka serta pelajar, terutama pada Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Saya berterima kasih kepada semua penyelidik yang sudi membantu kerajaan negeri dalam perkara ini dan saya harap kita sama-sama mendoakan kejayaan mereka membawa pulang khazanah bahari Hang Tuah ke Melaka,” katanya.

Ab Rauf sebelum ini mengumumkan rancangan kerajaan negeri untuk membawa pulang satu manuskrip lama dipercayai sepucuk surat yang didakwa diutuskan oleh Maharaja Rom kepada Hang Tuah suatu ketika dahulu.

Surat yang dikatakan dihantar oleh perutusan maharaja itu yang juga pelukis terkenal potret Monalisa, Leornardo Da Vinci kini tersimpan di sebuah muzium di Vatican City, Rom di Itali.

Ia disahkan Dr Rohaidah yang juga seorang daripada penyelidik dan pengkaji sejarah itu selepas melakukan kajian ke Vatican City dan satu daripada hasil penyelidikan terbabit menemui sepucuk surat dipercayai ditujukan kepada Hang Tuah dengan menggunakan nama ‘Laksamana Orang Muda’.

Related posts

Leave a Comment